Isnin, 9 November 2020

Kronologi kejadian helikopter terhempas di Malaysia sejak 2015

Bernama
Kronologi kejadian helikopter terhempas di Malaysia sejak 2015
Ini merupakan insiden keenam membabitkan pesawat jenis itu dalam tempoh lima tahun lepas.
 
KUALA LUMPUR: Kemalangan melibatkan dua helikopter di Taman Melawati dekat sini hari ini merupakan insiden keenam membabitkan pesawat jenis itu dalam tempoh lima tahun lepas.
 
Berikut merupakan kronologi kejadian helikopter terhempas sejak 2015:
 
4 April 2015: Helikopter AS3655N2 Dauphin (9M-1GB) terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih, Selangor mengorbankan lima penumpang termasuk Ahli Parlimen Rompin Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dan juruterbang Kapten Clifford William Fournier.
 
5 Mei 2016: Helikopter Eurocopter AS350 terhempas di Batang Lupar berhampiran Sebuyau, Sarawak, menyebabkan enam terbunuh termasuk Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Tan Sri Noriah Kasnon dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.
 
4 Okt 2016: Helikopter Nuri terhempas di atas bumbung Pusat Kemahiran Hidup, Sekolah Menengah Kebangsaan Balong, Tawau, Sabah, mengakibatkan 14 anggota tentera cedera.
 
15 Ogos 2018: Helikopter Robinson R-66 terhempas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang menyebabkan dua juruterbang cedera ringan.
 
27 Feb 2020: Sebuah helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membawa enam anggota Pasukan Gerakan Udara (PGU) terhempas di Kem Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA), Jalan Air Panas, Tawau. Kesemua anggota pasukan keselamatan itu selamat dengan hanya seorang cedera.
 
BACA: LAPOR LANGSUNG: Helikopter terhempas di Taman Melawati
 
8 Nov 2020: Sebuah helikopter terhempas dan meragut dua nyawa iaitu Mohamed Sabri Baharom, 56, beralamat di Wangsa Melawati, yang juga seorang bekas pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi, 41, beralamat di Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan.
 
Dua yang terselamat dalam kejadian itu ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad Datuk Ahmad Jauhari Yahya, 66, dan Tan Chai Eian, 51, yang menaiki sebuah lagi helikopter model 9M-HCA selepas berjaya melakukan pendaratan cemas di kawasan berdekatan.

Tiada ulasan: