Rabu, 11 November 2020

Kuat kuasa rentas daerah, negeri untuk elak virus Covid-19 merebak

MGF18092020_ISMAIL-SABRI-SERAH-PINGAT-VETEREN09
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Orang ramai yang berada dalam negeri yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak boleh merentas daerah dan negeri bagi mengelak virus Covid-19 merebak terutama ke negeri yang masih bebas daripada pandemik itu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peranan dan tanggungjawab kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) ialah untuk melindungi masyarakat yang masih bebas dari Covid-19 dan mengelak dari bertukar kepada zon merah.

Katanya, apabila satu-satu negeri atau daerah bertukar menjadi merah, kerajaan atas nasihat KKM terpaksa melaksanakan PKPB atau PKP Diperketatkan untuk tempoh dua minggu malah mungkin lebih lama daripada itu.

“Kita ambil pengalaman di Selangor, awalnya kes positif Covid-19 dikesan di Mukim Klang sehingga terpaksa dilaksanakan PKPD sedangkan daerah lain masih bebas dari kes itu.

“Tetapi kerana kita tidak mengambil langkah mencegah awal, maka virus ini merebak ke Kapar, Petaling, Gombak, Kajang dan akhirnya seluruh Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dikenakan PKPB.

“Ketika itu konsep kita tunggu apabila merah baharu kita kenakan PKPD, akhirnya satu persatu merebak, bertukar jadi merah,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut Ismail Sabri, bagi mengatasi masalah itu, kerajaan mendapat pandangan KKM untuk mengambil tindakan lebih awal bagi mencegah penularan virus Covid-19.

Katanya, KKM lebih arif dengan virus itu kerana mereka tahu jumlah kes dan membuat kajian kebolehjangkitan di kawasan tersebut.

“Maka, KKM membuat penilaian risiko kemungkinan berlaku jangkitan baru, akhirnya kita buat keputusan besar, menyekat sebelum penularan berlaku, bukannya tunggu merah baru kita tutup. Kini, kita sekat sebelum berlaku penularan.

“KKM memberi pandangan, virus itu sudah ada dalam komuniti berkenaan dan untuk mengelak virus merebak lebih ceopat, kita buat sekatan,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: