KUALA LUMPUR: Pengeluaran caruman dari Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hanya boleh dijadikan jalan terakhir bagi mereka yang tidak menerima sebarang bantuan kewangan serta kehabisan simpanan di Akaun 2.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha, berkata jika tindakan itu dibenarkan, mereka yang mengeluarkan caruman Akaun 1 KWSP boleh menjadi golongan miskin apabila bersara kelak akibat kekurangan simpanan.
Beliau berkata, 71 peratus daripada pencarum KWSP mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000, sedangkan jumlah minimum diperlukan untuk bersara pada umur 55 tahun adalah RM240,000.
"Statistik ini adalah fakta yang kita tidak boleh nafikan. Jika ada gelombang keempat atau kelima COVID-19, MBM khuatir jumlah simpanan ahli KWSP yang berpendapatan rendah akan terus menurun secara mendadak mengakibatkan tiada lagi simpanan hasil usaha bekerja berbelas atau berpuluh tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, MBM turut memberi tiga cadangan untuk Belanjawan 2021 iaitu mempertingkatkan usaha perlindungan sosial bagi melindungi pekerja di sektor formal dan tidak formal melalui 'Social Protection Floor' yang boleh diusahakan oleh Majlis Perlindungan Sosial (MySPC).
Katanya, MBM mencadangkan kerajaan meneruskan pakej bantuan kepada golongan B40 dan M40 yang terjejas selama enam bulan lagi, melanjutkan pengeluaran Akaun 2 i-Lestari KWSP serta menambah jumlah pengeluaran jika pemohon masih tiada pekerjaan.
"Cadangan ini juga bagi mengelakkan rakyat mengeluarkan simpanan Akaun 1 KWSP sekali gus menyelamatkan simpanan masa depan rakyat," katanya sambil menambah adalah menjadi tanggungjawab utama kerajaan membantu meningkatkan perlindungan sosial rakyat yang terjejas ketika ini. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan