Selasa, 3 November 2020

80 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan

Anggota bomba membantu menyelamatkan penduduk Kampung Batu 10, Skudai yang dilanda banjir. Foto ihsan bomba
Anggota bomba membantu menyelamatkan penduduk Kampung Batu 10, Skudai yang dilanda banjir. Foto ihsan bomba

JOHOR BAHRU: Seramai 80 penduduk termasuk kanak-kanak di Kampung Batu 10, Skudai, dekat sini, diselamatkan selepas rumah mereka dilanda banjir berikutan air sungai naik mendadak akibat hujan lebat, malam ini.

Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Ridhuan Akhyar, berkata 13 anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Skudai dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

Katanya, satu jentera bomba, kenderaan utiliti bersama bot penyelamat turut dibawa bersama bagi operasi penyelamat.

"Setibanya di lokasi didapati ramai terperangkap di dalam rumah masing-masing akibat paras air sungai yang naik sehingga 1.21 meter.

"Seramai 80 penduduk termasuk 35 kanak-kanak dan seorang orang kurang upaya (OKU) berjaya diselamatkan serta dipindahkan dengan bot aluminium bomba ke kawasan lebih selamat.

"Semua mangsa banjir dihantar ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 10 Skudai.

"Punca banjir berikutan hujan lebat mulai jam 4 petang tadi sehingga air dari empangan berhampiran terpaksa dilepaskan, " katanya dalam kenyataan, malam ini.

Mohd Ridhuan berkata, operasi memindahkan mangsa banjir turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan.

"Operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir ditamatkan kira-kira jam 9.45 malam tadi," katanya.

Tiada ulasan: