Khamis, 12 November 2020

Harga minyak sawit tertinggi dalam sejarah – Dr Khairuddin

HARAKAH DAILY

KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) memaklumkan prestasi harga minyak sawit mentah (MSM) pada hari ini mencecah jualan RM3,400 bagi satu tan.

Menterinya, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata itu merupakan harga yang paling tinggi dalam sejarah sejak lapan tahun lalu daripada bulan Mei 2012 sehingga sekarang.

“Ia berlaku di kala kita berhadapan dengan situasi Covid-19. Impak daripada kenaikan harga MSM telah memberi kesan kepada harga BTS. Hari ini harga BTS ialah RM600 hingga RM700 lebih bergantung kepada tempat dan keadaan.

“Ini akan menggembirakan pekebun kecil. Mereka memotong dan menjual BTS dengan harga yang tinggi. Kalau dulu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) harga sekitar RM300 sahaja dan sekarang adalah RM700 lebih,” katanya dalam satu wawancara Sinar Harian malam tadi.

Sehubungan itu, beliau berkata itu cukup menggambarkan betapa situasi komoditi sawit adalah berada pada tahap tinggi dan baik.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu juga menjangkakan komoditi sawit akan mendapat levi keuntungan luar biasa hingga dianggarkan mencapai sekitar lebih RM360 juta.

Cukai levi selalu diambil ketika harga MSM mencecah RM2,500 ke atas dan harga sekarang sudah mencapai RM3,400.

“Kita jangka akan mendapat levi keuntungan luar biasa sebanyak RM376 juta lebih kurang. Tahun lepas kita hanya dapat RM215,000 sahaja dan jauh berbeza,” katanya. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: