on
PETALING JAYA: Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (Umany) memohon maaf
kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung kenyataan kontroversinya yang
menyebabkan beberapa orang pemimpinnya disiasat oleh polis.
Dalam kenyataan, Umany berkata, ia juga menarik balik kenyataan tersebut
selepas berunding dengan beberapa orang pakar perlembagaan.
“Kami ingin menegaskan bahawa kami mematuhi sistem Raja berperlembagaan di
Malaysia serta menghormati peranan Agong dalam perlembagaan persekutuan.
“Kami secara khususnya ingin mengemukakan permohonan maaf dan memohon ampun
kepada Tuanku atas kekurangan pemahaman kami terhadap perlembagaan
persekutuan,” katanya.
Selain memohon maaf, Umany menekankan bahawa kenyataan berkenaan adalah untuk
tujuan perbincangan akademik dan tidak berniat untuk menghasut.
Badan mahasiswa itu juga menggesa polis menghentikan siasatan yang dijalankan
ke atas pemimpinnya dan meminta kerajaan memansuhkan undang-undang “zalim”
seperti Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.
Umany juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan
sokongan semasa siasatan polis berjalan dan berkata ia akan terus
mempertahankan kebebasan dan demokrasi di negara ini.
Badan mahasiswa itu mencetus kontroversi susulan kenyataan bertajuk “Yang
Di-Pertuan Agong should not Interfere in national affairs” yang disiarkan di
Facebook kumpulan itu minggu lalu.
Presidennya Robin Yap Wen Qing dan naib presiden Tan Li Yuan disiasat di bawah
Akta Hasutan dan Akta komunikasi dan Multimedia berhubung kenyataan itu.
Bekas presiden Umany Wong Yan Ke juga ditahan kerana merakam serbuan polis di
kediaman Yap dan menyiarkannya di Facebook. Beliau dilepaskan selepas itu
dengan jaminan polis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan