Khamis, 5 November 2020

Elaun Kenangan PJM RM500 dibayar mulai esok .

Oleh Fahmy A Rosli
  Menteri Kanan yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Menteri Kanan yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan mengumumkan pembayaran Elaun Kenangan Pingat Jasa Malaysia (PJM) fasa tiga dan empat sebanyak RM500 secara sekali bayar, bermula esok, kepada 51,816 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Kanan yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pihaknya telah memohon peruntukan tambahan bagi veteran baru berdaftar dan layak.

Beliau berkata, pembayaran itu membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM25.908 juta.

"Sebagai rekod, pembayaran Elaun Kenangan bagi fasa satu dan dua selesai dilaksanakan pada Februari dan Mac lalu membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM35 juta.

"Selain pemberian elaun ini, Kementerian Pertahanan juga berjaya merealisasikan beberapa insentif kepada veteran.

"Antaranya, memberi agihan semula dana Kutipan Jalanan dan Matching Grant (geran padanan) serta insentif sempena Kempen Tabung Pahlawan 2019 berjumlah RM5,320,486.46, dan melaksanakan pembayaran awal Bantuan Sara Hidup kepada 4,800 veteran ATM berjumlah RM1,440,000.

"Terdahulu, kementerian juga melaksanakan pengagihan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sempena Aidilfitri kepada 126,505 veteran ATM berpencen sebanyak RM250 seorang dengan jumlah RM31,626,250," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, seramai 128,194 veteran ATM berpencen menerima bayaran Bantuan Khas Kewangan (BKK) Prihatin Nasional 2020 sebanyak RM500 seorang dengan implikasi kewangan RM64,097,000.

Atas keprihatinan pihak kementerian, katanya, bantuan khas itu turut dipanjangkan kepada veteran tidak berpencen.

Beliau berkata, seramai 72,739 orang menerima BKK yang sama dengan implikasi keseluruhan kewangan berjumlah RM100,466,500.

"Dari aspek bantuan kebajikan pula, Kementerian Pertahanan turut berjaya meningkatkan jumlah bantuan skim Bantuan Bencana Alam daripada RM5,000 kepada RM10,000.

"Selain itu, memperluaskan bantuan kemasukan ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang terpilih berjumlah RM1,000 untuk pengajian peringkat diploma dan RM1,500 bagi ijazah pertama, serta bantuan khas kepada penjaga veteran ATM yang sakit terlantar berjumlah RM350 seorang sedang diusahakan," katanya.

Beliau sekali gus menyeru syarikat korporat dan orang ramai untuk terus menyumbang kepada Kempen Tabung Pahlawan yang masih berlangsung hingga 31 Disember depan.

"Sumbangan boleh dihulurkan melalui pautan https://tabungpahlawan.jhev.gov.my atau terus menyumbang ke akaun yang telah didaftarkan.

"Untuk maklumat lanjut, boleh layari portal JHEV ATM atau hubungi JHEV ATM melalui talian 03-2697 6600," katanya.

Tiada ulasan: