Khamis, 5 November 2020

COVID-19: SPR, Jabatan Peguam Negara diminta kaji perundangan bolehkan PRK ditangguh

Oleh Ilah Hafiz Aziz

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - FOTO BERNAMA
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Peguam Negara diminta mengkaji beberapa aspek perundangan yang membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi ditangguhkan sehingga COVID-19 berakhir.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata PRK itu dilihat sukar dilaksanakan berikutan pandemik berkenaan masih memuncak di Sabah.

"Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang saya pengerusikan, hari ini, menumpukan perhatian kepada beberapa isu utama perlu ditangani segera bagi memastikan pengurusan dan kawalan jangkitan COVID-19 di dalam negara.

"Antaranya, pembentangan mengenai prosedur operasi standard (SOP) PRK Parlimen Batu Sapi oleh Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh.

"PRK itu dilihat agak sukar dilaksanakan ketika pandemik COVID-19 masih memuncak di Sabah pada masa ini.

"Sehubungan itu, SPR dan Jabatan Peguam Negara diminta mengkaji beberapa aspek perundangan yang membolehkan PRK berkenaan ditangguhkan sehingga COVID-19 berakhir," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sabtu lalu, Muhyiddin menyatakan kebimbangannya yang PRK Parlimen Batu Sapi dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak boleh memburukkan lagi krisis COVID-19 di negara ini.

Beliau dilaporkan berkata, keperluan pilihan raya itu adalah selaras Fasal 1, Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas wujud kekosongan sesuatu Parlimen.

Katanya, Fasal 4, Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak pula memperuntukkan PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mengulas lanjut dalam kenyataan sama, Muhyiddin berkata, Kerajaan Sarawak turut memberi cadangan supaya kerajaan menaik taraf fasiliti yang menjalankan ujian saringan COVID-19 di seluruh negeri itu.

"Saya bersetuju dengan saranan ini kerana fasiliti sedia ada dijangka tidak mampu menampung sampel yang banyak.

"Kita mesti bersiap sedia dari segi tenaga kerja dan fasiliti untuk menghadapi kemungkinan peningkatan mendadak kes positif COVID-19.

"Alhamdulillah, Kerajaan Sarawak sudah mengadakan perbincangan lebih awal di pihak mereka, dan akan membentangkan Pelan Persiapan COVID-19 bagi Sarawak pada Sidang Khas MKN, esok," katanya.

Perdana Menteri berkata, pihaknya akan memastikan semua cadangan bagi menambah baik gerak kerja dan persiapan mengurus serta mengawal jangkitan COVID-19 di dalam negara, diberikan pertimbangan sewajarnya.

"Semua ini pada akhirnya adalah untuk melindungi rakyat Malaysia daripada jangkitan COVID-19, dan memastikan keupayaan mereka meneruskan kelangsungan hidup," katanya.

Tiada ulasan: