KUALA LUMPUR: Bedah siasat terhadap dua jenazah mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter terhempas di Taman Melawati, dekat sini, akan dijalankan esok.
Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM) dalam satu kenyataan, hari ini pengurusan jenazah kedua-dua mangsa dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
"Pihak hospital akan menjalankan ujian saringan COVID-19 Rapid Antigen serta ujian radiologi (x-ray dan CT Scan) bagi mengenal pasti kecederaan dalaman yang dialami.
"Bedah siasat terhadap jenazah akan dilaksanakan pada esok (9 November)," kata kenyataan itu.
Beliau juga berkata, jenazah akan diserahkan kepada waris untuk urusan pengebumian setelah proses bedah siasat selesai, manakala keputusan bedah siasat akan diserahkan kepada pihak polis.
"Pihak pengurusan HCTM mengucapkan takziah kepada keluarga kedua-dua mangsa.
"Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh kedua-duanya," katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, Kolonel (B) Mohd Sabri Baharon, 56 dan Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi, 41, disahkan terkorban.
Kedua-duanya yang menaiki helikopter dua tempat duduk jenis Guimbal Cabri G2 (G2CA) bersama sebuah lagi helikopter jenis sama dipandu Datuk Ahmad Jauhari Yahya, 66, dan rakannya, Tan Chai Elan, 56, yang dalam perjalanan dari Subang ke Genting Sempah.
Bagaimanapun, berlaku pelanggaran di antara kedua-dua helikopter di udara sebelum satu daripadanya terhempas manakala sebuah lagi helikopter berjaya membuat pendaratan cemas di sebuah padang berhampiran.
Berita berkaitan:
Tiada ulasan:
Catat Ulasan