KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan bersetuju memfatwakan struktur dan kaedah wakaf unit Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) adalah selaras dengan hukum syarak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata keputusan itu dicapai melalui jawatankuasa terbabit yang dipengerusikan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Abdullah.
"Jawatankuasa ini sudah membincangkan berkenaan wakaf unit amanah ASNB yang dicadangkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) Rabu lalu.
"Setelah penelitian dibuat, jawatankuasa bersetuju memfatwakan struktur dan kaedah wakaf unit amanah ASNB adalah selaras dengan hukum syarak, " katanya melalui rakaman video di Facebook miliknya, di sini, malam tadi.
Pada Belanjawan 2021 Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan PNB akan memperkenalkan perkhidmatan wakaf kepada semua pemegang unit amanah ASNB.
Sebanyak RM1.4 bilion diperuntukkan bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Kerajaan turut mengumumkan penubuhan Pelan Induk Wakaf Nasional bagi memastikan pengurusan wakaf yang lebih cekap dan dapat memaksimumkan mobilisasi aset itu.
Pada masa sama, Zulkifli berkata, tadbir urus hal ehwal Islam berupaya diperkasakan khususnya dalam aspek pembinaan Tabung Wakaf Malaysia (TWM) melalui peruntukan berkenaan.
Beliau berkata, menerusi peruntukan itu, pihaknya melihat ada ruang yang amat luas untuk mencapai objektif pembangunan hal ehwal Islam.
Mengulas lanjut, katanya, kerajaan berhasrat untuk menjadikan wakaf sebagai salah satu sumber ekonomi negara menerusi pelaksanaan TWM sebagai agenda negara.
"Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) melalui TWM yang bakal diwujudkan, ia akan menjadi payung besar kepada semua jenis kutipan wakaf dan kerjasama erat dengan pihak berkuasa agama negeri akan dilakukan bagi tujuan itu.
"Pengurusan TWM yang dilaksanakan secara sistematik dijangka mampu meningkatkan taraf hidup masyarakat dan membasmi kemiskinan selain mengekang tindakan kutipan wakaf oleh pihak tidak bertanggungjawab, " katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan