Tiada noktah berhenti dalam perjuangan sehingga matlamat tercapai
BANGI – Jangan jadikan kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim sebagai retorik kepartian semata-mata, tegas Ketua Media Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Haji Rashidi Haris.
Rashidi kecewa dengan sikap segelintir pihak yang seolah-olah mempergunakan kes Allahyarham Muhammad Adib demi kepentingan politik, dan tidak bersungguh-sungguh membela kematian penjawat awam itu.
Beliau yang juga Ketua Komunikasi dan Multimedia PEMBELA menegaskan, perjuangan menuntut keadilan buat Allahyarham sepatutnya berterusan sehingga pelaku yang terlibat dijatuhkan hukuman setimpal.
“Bagi PEMBELA, tiada noktah berhenti dalam sesuatu perjuangan sehingga matlamat tercapai.
“Ia bukannya bermusim sebagaimana sesetengah NGO Islam lain, terutamanya yang dinaungi oleh parti politik, bila mana hanya muncul apabila dekat PRU dan tenggelam semula selepas PRU,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Bahkan, lebih mengecewakan beliau apabila ada pihak yang mengatakan bahawa keadilan untuk Allahyarham Muhammad Adib sudah selesai.
“Tidakkah ada perasaan belas kasihan terhadap keluarga Allahyarham? Apakah pertubuhan Islam bukan kerajaan yang dibayangi parti politik ini tertakluk kepada naratif parti politik yang menaunginya?
“Bak kata pepatah ‘hangat-hangat tahi ayam’, itulah yang menimpa pejuang celup yang dahulunya menjerit menuntut pembelaan terhadap Adib tetapi sesudah berada di bawah ‘aircond’ mulai hilangkan diri,” sindirnya.
Rashidi berkata, bagi PEMBELA perjuangan menuntut keadilan terhadap kematian Allahyarham Muhammad Adib masih belum selesai sehingga matlamat tercapai.
“Jika kita mula langkah pertama perjuangan maka pastikan kita terhenti dengan kejayaan pada noktah hentian terakhir,” katanya tegas.
Allahyarham Muhammad Adib yang juga anggota bomba Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, pada 27 November 2018.
Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan