Khamis, 29 Oktober 2020

Mustapha Ahmad Merican diumum penerima utama Anugerah Khas Semarak Cinta Rasul

 Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM

PUTRAJAYA: Pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa, Datuk Dr. Mustapha Ahmad Merican diumumkan sebagai penerima utama Anugerah Khas Semarak Cinta Rasul sempena pengimarahan bulan Malidur Rasul 1442H/2020.

Anugerah itu diumumkan oleh Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh dalam satu majlis secara maya di sini malam ini yang disiarkan di TV1.

Mustapha Ahmad pernah menerima Anugerah Tokoh NGO Antarabangsa daripada Perdana Menteri Kemboja selain pengiktirafan daripada kerajaan Arab Saudi.

Beliau diiktiraf berikutan sumbangannya memberi bantuan kepada rakyat Kemboja, Vietnam, Thailand, Filipina, Indonesia dan Laos sepanjang pandemic Covid-19.

Mustapha Ahmad juga pernah melakukan rundingan diplomatik dan perhubungan persahabatan untuk pembebasan 47 tahanan rakyat Malaysia dari Penjara Kemboja pada Februari 2019 selain memberi bantuan kebajikan dan menaik taraf masjid dan surau di negara Islam serantau.

Seramai enam lagi tokoh turut menerima Anugerah khas itu iaitu Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki; Ketua Pegawai Eksekutif Hidayah Centre Foundation, Nicholas Sylvester@Berry dan Persatuan Orang Cacat Penglihatan Malaysia yang juga Guru Sekolah Khas, Zakaria Yahya.

Turut menerima anugerah itu ialah Presiden Pertubuhan Anak Yatim Malaysia (Peyatim), Prof. Datuk Dr. Tengku Mahmud Mansor; Pengarah Kawalan Penyakit (Pakar perubatan Kesihatan Awam), Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Norhayati Rusli dan Penceramah dan pendakwah bebas, Zawiah Hassan.

Penerima anugerah itu dipilih menerusi Jawatankuasa Pemilihan Penerima Anugerah Maulidur Rasul SAW 1442H/2020 yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebagai mengiktiraf sumbangan mereka ke arah memartabatkan syiar Islam di dalam dan luar negara. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: