Muhafandi Muhamad, Hasimi Muhamad
Sejak dua tahun lalu, Nana akan duduk di sebelah kubur Allahyarham Ab Aziz, setiap hari - Gambar Astro AWANI
NANA – bukan nama seorang ‘penyanyi’ atau jiran rumah kita.
Tetapi, itulah panggilan manja untuk seekor kucing jantan yang tinggal di Kampung Paloh, Tanah Merah, Kelantan.
Kucing
ini bukan baka Persia, tidak juga kucing ‘Scottish Fold’, malah jauh
sekali baka kucing biru Rusia – yang mungkin menjadi ‘kegilaan’ ramai
pengemar haiwan karnivor ini.
Bukan soal baka kucing yang mahu kita perkatakan, namun kasih sayang haiwan ini kepada pemiliknya.
Mungkin
ramai dalam kalangan kita tahu kisah kesetiaan seekor anjing di Jepun
bernama Hachiko – yang tidak jemu menunggu tuannya di stesen Shibuya,
Tokyo selama hampir 10 tahun selepas kematian pemiliknya pada tahun
1925.
Malah, kerajaan Jepun turut membina tugu di depan stesen tersebut sebagai mengenang haiwan itu.
Di Malaysia, tidak mustahil kisah Nana boleh menjadi sehebat Hachiko!
Sejak
pemergian tuannya pada Julai 2018, setiap pagi si comel berwarna oren
ini akan menziarahi pusara Allahyarham Ab Aziz Ismail yang terletak
kira-kira lima meter dari rumah arwah.
Tiada siapa yang dapat memahami apa yang terbuku di lubuk hati haiwan ini.
Ia
seolah-oleh memikul beban rindu yang sangat berat kepada Allahyarham Ab
Aziz yang meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang.
Lebih
menyentuh hati, dalam tempoh tiga bulan pemergian arwah Ab Aziz, Nana
dikatakan hilang selera makan – barangkali masih bersedih dengan
kehilangan penjaganya itu.
Berkongsi
cerita, isteri Allahyarham, Hasnah Che Amat, 68, berkata, selama 40
hari dari hari kematian suaminya, beliau sekeluarga akan ke kubur untuk
membacakan Yasin.
Biasanya, Nana akan sampai terlebih dahulu di kawasan kubur dan duduk di bahagian kepala kubur arwah.
“Bermula
dari situ kami lihat keajaiban kasih sayang Nana dan arwah suami.
Malah, sehingga kini setiap pagi Jumaat, kami akan ziarah kubur, dia dah
ada… dia ikut sekali.
“Pada satu hari
itu, saya balik sembahyang Subuh, masuk dapur dalam pukul 8 pagi. Nampak
dia (Nana) naik atas rumah dalam keadaan basah.
“Kadang-kadang, saya intai melalui tingkap, nampak dia (di kubur)… tak tahu pukul berapa ia pergi,” katanya.
Nana dijaga oleh keluarga itu sejak enam tahun lalu dan menjadi haiwan kesayangan Allahyarham Ab Aziz.
Jelas
Hasnah, sepanjang hayat suaminya, Nana begitu manja dengan Allahyarham
dan setia menunggu kepulangan Ab Aziz di pagar rumah setiap kali arwah
keluar menunaikan solat Subuh di masjid.
Tambah
ibu kepada lapan cahaya mata itu lagi, beliau tidak menyangka minat
arwah suami memelihara pelbagai jenis haiwan, nyata mampu menunjukkan
sesuatu yang luar biasa walaupun sudah pergi buat selama-lamanya.
Selain
menziarah kubur, kucing jantan baka tempatan ini turut menghabiskan
masa di atas kereta peninggalan arwah Ab Aziz, selain buaian yang
menjadi tempat kegemaran arwah.
Kini,
walaupun keluarga Hasnah hanya menziarahi kubur seminggu sekali, tetapi
kucing jantan ini masih meneruskan rutinnya setiap pagi.
Nana
akan menghabiskan masa duduk di tepi kubur ataupun tidur di kawasan
berkenaan. Begitulah gambaran besarnya kasih kucing ini kepada
Allahyarham!
Di sebalik peningkatan kes
penderaan haiwan, semoga kisah Nana boleh dijadikan pengajaran kepada
kita dan bukti bahawa kasih-sayang kepada makhluk ciptaan Tuhan adalah
perlu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan