Khamis, 29 Oktober 2020

Ramai petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 dalam komuniti

Saipul Adli Mohamad; Muhaamad Hafis Nawawi dan Mahaizura Abd Malik
 
PETUGAS kesihatan membuat ujian saringan Covid-19 di hospital swasta di Ampang, hari ini. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN

Kuala Lumpur: Sebahagian besar petugas kesihatan mendapat jangkitan Covid-19 dalam komuniti dan bukannya ketika bertugas di wad Covid-19 atau Unit Rawatan Rapi (ICU).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini seramai 1,099 kes petugas kesihatan didapati positif Covid-19 termasuk 949 daripadanya mendapat jangkitan dalam komuniti.

Beliau berkata, apa yang penting apabila dikesan atau terdedah kepada Covid-19, mereka akan terus dikuarantin dalam tempoh tertentu.

"Inilah tindakan kita lakukan untuk pastikan keselamatan dan apa yang penting petugas kesihatan perlu patuh pada SOP (prosedur operasi standard) ketika berkhidmat dalam ICU atau wad Covid-19.

"Banyak kes bukan terkena jangkitan di dalam wad atau ICU, tetapi dalam komuniti dan ini salah satu isu sering kita lihat daripada gelombang kedua lagi dan apa yang penting patuh pada SOP," katanya pada sidang media harian Covid-19, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, jika dilihat jangkitan dalam komuniti, misalnya apabila petugas kesihatan menghadiri majlis perkahwinan dan kembali ke hospital menjangkiti rakannya.

"Jadi mereka yang terdedah ini akan diasing dan dikuarantinkan...inilah tindakan kita ambil kerana seperti dimaklumkan semalam dua kumpulan berisiko adalah ahli keluarga positif Covid-19 dan petugas barisan hadapan," katanya.

Tiada ulasan: