Jumaat, 30 Oktober 2020

Dr. Noor Hisham sekali lagi tegaskan belum masa adakan pilihanraya

Menurutnya, ketika ini bacaan R-naught Covid-19 pada tahap 1.0 menunjukkan masih berlaku penularan pandemik dalam kalangan masyarakat.

Katanya, mengikut bacaan itu jika terdapat 100 orang positif Covid-19 maka ia akan merebak kepada 100 yang lain.

“Jadi buat masa ini masih tidak sesuai untuk kita mengadakan pilihan raya. R-naught masih belum dilandaikan kepada 0.3.

“Walaupun kita lihat ada puncak pada 24 Oktober dan 26 Oktober iaitu 1228 kes dan 1240 kes. Kes ini disumbangkan oleh kluster penjara. Alhamdullilah, setakat ini boleh kawal dalam penjara seperti depoh tahanan. 

“Dalam komuniti kita masih perlu berusaha mempergiatkan aktiviti, kalau kita patuh SOP dalam tempoh dua tiga minggu kita boleh turunkan R-naught kepada 0.5 ini yang penting,” tegas Dr. Noor Hisham dalam sidang akhbar hari ini.

Katanya ketika gelombang ketiga bermula pada 20 September lalu bacaan R-naught adalah 2.2.

Selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dilaksanakan di empat negeri, KKM berjaya menurunkan R-naught kepada 1.5.

“Dan kalau kita lihat semalam kalau kita ikut unjuran 1.5 sepatutnya kita mendapat kes iaitu kes seharian sebanyak 1200 kes.

“Tetapi semalam kita hanya mendapat 649 kes dan hari ini kita ada 799 kes. Tetapi kalau ikut unjuran hari ini kita dapat 1300 kes.

“Bererti kita sudah berjaya merendahkan atau melandaikan lengkungan iaitu kurang 1.5 selepas dua minggu PKPB,” kata Dr. Noor Hisham.

Menurutnya, semua rakyat khusus di empat negeri perlu patuh kepada prosedur operasi standard.

Jika mereka boleh duduk di rumah untuk tempoh dua minggu lagi negara boleh melandaikan R-naught kepada 0.3.

Walau bagaimanapun menurut Dr. Noor Hisham, jika pilihan raya tidak dapat dielakkan kerana peruntukan Perlembagaan maka ia perlu  mengikuti tiga prinsip yang ketat.

“Pertama ialah tidak ada melintas sempadan ataupun daerah. Yang kedua tidak membenarkan perhimpunan ataupun berkempen secara ramai-ramai.

“Yang ketiga tidak ada walk about ataupun kunjungan dari rumah ke rumah. Kalau kita tidak mengikut kepatuhan jadi mungkin Covid-19 akan merebak,” amaran Dr. Noor Hisham.-SM

Tiada ulasan: