Sabtu, 31 Oktober 2020

Karnival buku dalam talian .

Fairul Asmaini Mohd Pilus
 
TEMPAHAN diteliti dan disiapkan sebaik mungkin.

Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) menganjurkan Karnival Buku Ilmiah Dalam Talian 2.0 (KABI 2.0) sehingga 12 November ini bagi membantu pelajar institut pengajian tinggi mendapatkan buku pengajian dengan harga yang lebih murah tanpa perlu keluar dari rumah sendiri.

Pelbagai pilihan buku dan tajuk ditawarkan pada karnival buku ilmiah itu bagi membolehkan pelajar peluang membuat pemilihan dengan lebih berkesan.

Pada edisi kali ini, MAPIM turut bekerjasama dengan platform marketplace Shopee sebagai rakan strategik dengan menganjurkan jualan MAPIM X Shopee yang akan diadakan bermula 26 Oktober hingga 11 November, iaitu acara kemuncak KABI 2.0.

Pengerusi Jawatankuasa Pemasaran MAPIM, Azman Hashim berkata, sejajar dengan pengajaran dalam talian dan penangguhan pendaftaran pelajar ke kampus secara fizikal sehingga wabak Covid-19 terkawal, karnival itu dan MAPIM X Shopee adalah platform terbaik bagi pelajar mendapatkan bahan pembelajaran secara dalam talian.

Selain itu, ia juga menawarkan pelbagai pilihan dengan lebih 28 penerbit universiti dan juga swasta akan mengambil bahagian.

"MAPIM X Shopee juga memberi peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan bukan sahaja buku berbentuk akademik, malah genre buku yang lebih meluas dengan harga yang berpatutan.

"Pada 11.11 ini, lebih 15,000 judul buku ditawarkan dalam KABI 2.0 dengan baucar pembelian, selain harga buku serendah RM11 ditawarkan oleh penerbit yang mengambil bahagian," katanya.

Menurut Azman lagi, selain aktiviti jualan dalam talian, karnival berkenaan turut menganjurkan pelbagai aktiviti berkaitan perbukuan antaranya slot bual bicara secara dalam talian Republika Merah; Aktiviti Larian, Berbasikal dan Baca (Virtual Run, Ride and Read - V3R) dan Hab Latihan MAPIM (MAPIM Training Hub - MATRAH).

Katanya, semua aktiviti yang dilaksanakan dalam Republika Merah seperti bual bicara buku, sesi bersama penulis dan sebagainya akan dilaksanakan secara dalam talian melalui platform Facebook MAPIM.

"Bagi program (V3R 2020) pula, peserta boleh memilih sama ada untuk berlari lima kilometer (km) atau berbasikal (20km).

ANTARA proses menyiapkan tempahan.
ANTARA proses menyiapkan tempahan.

"Tarikh pendaftaran bagi program itu adalah sehingga 30 Oktober ini, manakala tempoh untuk membuat larian dan berbasikal sehingga 12 November depan.

"Setiap peserta akan menerima baju T, pingat, e-sijl dan baucar pembelian buku," katanya.

Sementara itu, MATRAH yang menganjurkan bengkel dan latihan berkaitan penerbitan akan diadakan sepanjang penganjuran berkenaan.

Bengkel itu bagaimanapun akan mengenakan caj minimum kepada peserta dan ia juga akan dijalankan secara dalam talian.

Tiada ulasan: