UMNO ONLINE
KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menganggap titah Yang di-Pertuan Agong bersama Duli-Duli YMM Raja-Raja Melayu telah membuat keputusan terbaik untuk Malaysia dengan tidak mengisytiharkan perintah darurat seperti yang dicadangkan oleh kerajaan.
Katanya, Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu melalui keputusan
ini telah mempertahankan Perlembagaan, mengiktiraf kerja keras dan
sumbangan luar biasa petugas kesihatan dan barisan hadapan negara serta
mengutamakan kepentingan rakyat kebanyakan.
“Patik yakin Kerajaan Perikatan Nasional akan mengusahakan apa jua yang sewajarnya untuk menterjemahkan keputusan bijaksana ini.
“Keputusan ini sewajarnya mendorong semua pihak tampil demi kepentingan nasional untuk bersama-sama Kerajaan dalam memerangi pandemik global ini,” katanya.
Ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Rantau, kebijaksanaan dan hikmah DYMM Tuanku dalam perkara ini meyakinkan bahawa institusi Raja mempunyai peranan Perlembagaan yang sangat penting dalam pentadbiran negara ini.
“Untuk kesekian kalinya, DYMM Tuanku serta Duli-Duli YMM Raja Raja Melayu terus mengutamakan rakyat dan kebajikan mereka dengan sebaik-baiknya. Menjunjung kasih Tuanku,” ujarnya lagi dalam kenyataan berkaitan isu tersebut.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara telah bertitah tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Al-Sultan Abdullah bertitah perkara itu diputuskan setelah memperhalusi permohonan yang dipersembahkan Perdana Menteri dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu selain melihat situasi sedang dihadapi negara ketika ini. – UMNO Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan