PANDEMIK COVID-19 memberi impak yang sangat terkesan terhadap industri pelancongan di seluruh dunia dan pastinya senario sama melanda Malaysia.
Selepas kerajaan melonggarkan rentas negeri membolehkan industri pelancongan domestik bernafas kembali bernafas walaupun ia bergerak agak perlahan.
Lantas, kerajaan dan pastinya pemain sektor ini masing-masing berusaha untuk menonjolkan kepelbagaian keunikan dan keistimewaan destinasi di setiap negeri bagi memancing kunjungan pelancong tempatan bercuti mengikut cita rasa kegiatan mereka.
Cameron Highlands dan Janda Baik, Bentong, Pahang umpamanya antara destinasi percutian kerap menjadi tumpuan penduduk tempatan untuk mencari kelainan yang terkenal dengan ekopelancongan, selepas kerajaan melonggarkan syarat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), sebelum ini.
Namun, sejak Perintah Kawalan Pergerakan Oemukersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah sehingga 28 Oktober ini, ia turut memberi impak terhadap jumlah kedatangan pergerakan pelancong domestik.
Berdasarkan laporan, 60 peratus penurunan kedatangan pelancong di Cameron Highlands dan di Janda Baik selepas PKPB.
Tingkatkan semula pelancongan Pahang
Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) Pahang, Datuk Idros Yahya, berkata dua destinasi pelancongan berkenaan banyak bergantung kepada pelancong dari Lembah Klang.
Katanya, penutupan pintu sempadan memberi kesan besar yang menyebabkan jumlah kedatangan pelancong mengalami penurunan mendadak hingga menjejaskan sektor pelancongan di Pahang.
"Bagaimanapun, pintu sempadan tidak ditutup secara menyeluruh di Pahang dan pelancong dari utara seperti Perak dan Pantai Timur iaitu Terengganu dan Kelantan serta Johor masih boleh melancong ke negeri ini.
"Kedatangan mereka akan membantu meningkatkan ekonomi setempat dan merancakkan sektor pelancongan di Pahang ketika Lembah Klang dalam pelaksanaan PKPB," katanya.
Sehubungan itu, Idros berkata, pihaknya mengharapkan pelancong luar dari Pahang yang tidak dikenakan pelaksanaan PKPB dan memilih Pahang sebagai destinasi pelancongan mereka.
Pada masa sama, katanya, rakyat Pahang juga digalakkan melancong dan memilih destinasi pelancongan mereka di dalam Pahang.
"Apa yang perlu dilakukan ialah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam usaha menyekat penularan COVID-19," katanya.
Tarikan utama dua destinasi pelancongan
Beliau berkata, di Cameron Highlands, lokasi unik dan mendamaikan, pengunjung berpeluang melalui kawasan perkampungan Orang Asli di Kuala Woh, Kampung Pahang, Ringlet, sebelum sampai ke Tanah Rata dan diakhiri Brinchang.
Tidak mustahil kawasan ini sesak dengan kenderaan berderet menaiki lokasi berkenaan dan dianggap percutian berbaloi apabila dapat meneroka Taman Agroteknologi MARDI, ladang strawberi, ladang teh, pasar Kea Farm dan pasar malam.
Mossy Forest juga menjadi daya tarikan utama bagi mereka yang ingin melihat keindahan alam semula jadi terutama hutan.
Bagi peminat bunga, khususnya wanita boleh melihat, memilih dan membeli bunga ros dan sayur-sayuran segar untuk dibawa pulang.
Tumpuan bercuti pada hujung minggu
Di Janda baik pula, resort atau chalet yang dibina di tepi sungai menjadi pilihan pelancong yang inginkan suasana nyaman dan selesa bagi percutian singkat.
Jika musim durian, lokasi ini jadi tumpuan warga kota yang sanggup datang ke daerah itu untuk menikmati raja buah khususnya Musang King.
Tidak hairan, pada cuti hujung minggu atau cuti umum, Janda Baik menjadi tumpuan sama ada mereka bercuti bersama keluarga atau rakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan