Khamis, 29 Oktober 2020

Penyair Malaysia Salleh Ben Joned meninggal dunia

Salleh Ben Joned, yang popular dengan gaya penulisannya tersendiri, lebih dikenali 
dengan penerbitan karya dwi bahasa selain pernah membintangi beberapa filem. (Gambar 
Facebook)

PETALING JAYA: Salleh Ben Joned, yang terkenal dengan puisi dan penulisannya yang eksplisit dalam kesusasteraan Malaysia, meninggal dunia akibat kegagalan jantung, hari ini.

Berita duka itu disahkan oleh keluarga menerusi catatan ringkas di laman Facebooknya.

“Salleh Ben Joned telah pulang ke rahmatullah Khamis 29 Oktober jam 1.21 pagi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),” tulis catatan itu.

Menurut keluarganya, Salleh mengalami kesukaran bernafas ketika berada di rumahnya sebelum dimasukkan ke PPUM dan disahkan meninggal dunia.

Berikutan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), hanya ahli keluarga dibenarkan menghadiri solat jenazah dan pengebumian allahyarham.

Salleh, yang popular dengan gaya penulisannya tersendiri, lebih dikenali dengan penerbitan karya dwi bahasa. Semasa hayatnya, beliau pernah membintangi beberapa filem.

Selepas melanjutkan pelajarannya di Australia, Salleh pulang ke tanah air pada 1973 untuk bekerja di Jabatan Bahasa Inggeris di Universiti Malaya sehingga 1983, apabila beliau berhenti menjadi penulis bebas.

Karya-karya Salleh sering dikaitkan dengan kritikan tajam dan seksualiti grafik, yang mendapat kritikan pada zaman itu. Koleksi puisi pertamanya berjudul ‘Sajak-Sajak Salleh/Poems Sacred and Profane’, ditulis dalam bahasa Melayu dan Inggeris, telah diterbitkan pada 1987.

Sebagai penyokong kuat karya bahasa Inggeris untuk menjadi sebahagian daripada sastera tempatan, Salleh memprotes langkah untuk mengiktiraf Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan medium untuk sastera Malaysia pada tahun 80-an, dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (NCP) yang membenarkan karya tempatan ditulis dalam bahasa Melayu.

Tiada ulasan: