Oleh MUHAMMAD AIMY AHMAD
MELAKA: Pelan pelancongan Melaka yang dirangka oleh kerajaan negeri bagi meningkatkan semula pertumbuhan sektor itu ‘musnah’ gara-gara pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, pelbagai mekanisme telah dilakukan seperti merendahkan harga, pakej-pakej menarik, meningkatkan kualiti dan pembersihan berkala.
Namun, kesemua usaha itu kini dilihat tergendala termasuk sasaran menarik kehadiran 5.6 juta pelancong menjelang hujung tahun ini.
“Saya tak tahu macam mana lagi nak buat kerana kita sudah buat macam-macam cara, apabila PKPB dilaksanakan di Lembah Klang pelancong hujung minggu dari tiga negeri ini tidak dapat datang jadi perkara begini banyak merosakkan Melaka.
“Semasa gelombang pertama dahulu kerajaan negeri masih ada rizab yang baik jadi kita tidak terlalu terkesan teruk dan berharap tidak berlaku gelombang seterusnya tetapi akhirnya ia berlaku juga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Pejabat Penggerak Komuniti Negara (PKN) oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datin Zuraida Kamaruddin di Taman Klebang Utama, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, ujar Muhammad Jailani, pihaknya menaruh harapan agar PKPB tersebut tidak disambung lagi selepas ini atau melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada bagi membolehkan pelancong datang ke Melaka.
Sementara itu, mengulas mengenai Bajet negeri Melaka dan Persekutuan 2021 yang akan dibentangkan kelak, beliau berharap fokus kepada sektor pelancongan yang kini terjejas teruk sepanjang tempoh pandemik Covid-19 diberi perhatian sewajarnya.
Ujar Muhammad Jailani, antara yang diharapkan pihaknya adalah kewujudan rizab pelancongan yang dapat membantu sektor berkenaan jika berlakunya sebarang musibah yang tidak dijangka pada masa depan.
Jelasnya, dengan adanya rizab tersebut, ia dapat disalurkan kepada pemain industri pelancongan yang terkesan, sekali gus dapat mengelak sektor tersebut daripada lumpuh sepenuhnya.
“Apabila berlakunya Covid-19, kita mula sedar betapa pentingnya rizab untuk pelancongan. Jadi saya sangat berharap bajet Persekutuan dan negeri dapat memikirkan satu jumlah rizab untuk industri pelancongan sekiranya berlaku musibah seperti ini.
“Jadi jika adanya rizab tersebut, kita hanya akan gunakan apabila perlu sahaja supaya kita dapat bertahan dalam tempoh sukar, sekali gus dapat mengelakkan pembuangan pekerja,” katanya. -UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan