JOHOR BAHRU: Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ), taman bimbingan kanak-kanak (TABIKA), taman asuhan kanak-kanak (TASKA) dan pusat aktiviti yang berada di zon merah, di sini, diarahkan tutup sementara dalam usaha mengekang penularan pandemik COVID-19 di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, arahan penutupan SAKJ itu dibuat susulan daerah ini yang diklasifikasikan sebagai zon merah mulai semalam oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Katanya, semuanya SAKJ ditutup bermula 1 sehingga 14 November ini yang meliputi daerah Johor Bahru dan Kulai.
"Arahan penutupan sementara ini membabitkan semua SAKJ, semua Tadika Agama Johor, semua sekolah Darjah Khas, Kolej Marsah Johor, semua Maahad dan Pusat Tahfiz berdaftar serta sekolah agama persendirian berdaftar di sekitar Johor Bahru dan Kulai.
"Arahan ini turut merangkumi mana-mana pusat tahfiz, pondok dan madrasah yang tidak berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri Johor," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Zaiton Ismail, berkata semua TABIKA, TASKA, pusat jagaan, pusat aktiviti warga emas dan kanak-kanak serta pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di zon merah, di sini, ditutup sementara bermula 2 hingga 14 November ini.
Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut memutuskan sebanyak 269 kelas TASKA dan TABIKA membabitkan 7,104 kanak-kanak akan ditutup sementara, selain arahan sama turut dikeluarkan bagi pusat jagaan warga emas dan pusat PDK.
"Keputusan penutupan ini mengambilkira pandangan dari Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor untuk memastikan pandemik COVID-19 dapat dikawal dan tidak dijangkiti kepada golongan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak dan warga emas," katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan