Dipercayai sedang menuju ke Mauritania untuk menangkap ikan
JOHOR BAHRU – Enam bot nelayan asing ditahan di perairan Johor Timur, semalam, kerana didapati memasuki perairan negara ini tanpa kebenaran.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili Kapten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata penahanan dilakukan pada kira-kira 9 pagi menerusi Op Jaksa/Op Benteng Laut, selepas pihaknya menerima maklumat percerobohan daripada Lembaga Pelabuhan Johor.
“Tiga daripada bot itu ditahan sewaktu sedang merapat antara satu sama lain di kedudukan 2.1 batu nautika selatan Tanjung Setapa, di Pengerang dekat Kota Tinggi, manakala tiga lagi ditahan di kedudukan 2.3 batu nautika kawasan sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Zulfadli berkata pemeriksaan lanjut kemudian mendapati semua bot terbabit didaftarkan di Qinhuangdoa, China dan dikendalikan oleh enam nakhoda dan 54 kru warga China berumur lingkungan 31 hingga 60 tahun.
Menurutnya, kesemua bot berkenaan dipercayai sedang menuju ke Mauritania untuk menangkap ikan dan berhenti berlabuh di perairan negara kerana ada antara bot itu mengalami kerosakan tetapi malangnya ia tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran untuk berlabuh di kawasan itu daripada Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Perikanan Malaysia dan Lembaga Pelabuhan Johor.
Berikutan itu, enam nakhoda bot telah dibawa ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili di Kota Tinggi untuk tindakan lanjut, katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 kerana memasuki perairan perikanan Malaysia tanpa pemakluman dan Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa kelulusan atau pemakluman Pengarah Laut.
Pihak maritim, katanya, menasihati ejen atau pengurus bot penangkapan ikan asing supaya mendapatkan kelulusan Jabatan Perikanan Malaysia dahulu sebelum melakukan sebarang urusan pembaikan atau pengisian minyak melibatkan kapal penangkapan ikan asing, khususnya dalam had Pelabuhan Pasir Gudang atau sekitarnya. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan