KUALA LUMPUR – Golongan ahli akademik tidak bersetuju dengan cadangan pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam usaha meringankan beban pekerja yang tertekan ekoran penularan pandemik Covid-19.
Profesor Kewangan Islam, Universiti Sains Islam Malaysia, Abd Ghafar Ismail berkata, ini kerana cadangan itu akan menyebabkan akta badan berkanun itu perlu dibuat pindaan.
Justeru beliau memahami kesukaran kenapa kerajaan berdepan kesukaran untuk melaksanakan cadangan tersebut seperti dinyatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.
“Alasan pertamanya kerana Akta KWSP yang perlu diubah jika cadangan itu dilaksanakan.
“Yang kedua pentingnya simpanan ini untuk keselamatan sosial pada pada masa depan iaitu pendapatan masa pencen,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Sambung pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat itu, sepatutnya kerajaan mencari sumber kewangan lain untuk membantu rakyat antaranya memperkenalkan dana skim pengangguran dan zakat selain simpanan yang sedia ada.
Jelas beliau, pada masa sama, kerajaan juga memiliki tanggungjawab untuk memberi bantuan dalam perpindahan secara terus.
“Contohnya, kerajaan boleh memperkenalkan kupon makanan, kupon biaya rumah dan kupon utiliti air serta eletrik dalam meringankan golongan rakyat yang terjejas ketika ini,” katanya.
Semalam, kerajaan membayangkan kesukaran untuk membenarkan pengeluaran wang akaun 1 caruman KWSP bagi digunakan rakyat yang berdepan wabak Covid-19, kata Perdana Menteri.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau menyedari ada cadangan yang dibuat bagi pengeluaran wang akaun 1 KWSP dibuat berikutan rakyat terbeban dengan impak ekonomi akibat penularan berkenaan. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan