Sabtu, 31 Oktober 2020

PM bayangkan HSR dibina dalam masa terdekat

 Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR

MUHYIDDIN Yassin berucap pada Majlis Perjumpaan bersama Kepimpinan Masyarakat Parlimen Pagoh, Kompleks Sukan Pagoh, Muar. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

PAGOH : Perdana Menteri membayangkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura akan dibina dalam masa terdekat dan dijangka siap pada 2029.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, projek yang membabitkan kos lebih RM50 bilion itu akan memberi pelbagai manfaat kepada negara di samping tempoh perjalanan Kuala Lumpur-Singapura bakal mengambil masa 80 minit.

“Rakyat Parlimen Pagoh paling bertuah kerana sebuah stesen HSR akan wujudndi sini iaitu berdekatan Universiti Hub Pendidikan Tinggi Pagoh. 

“Projek ini akan melalui kawasan ini dan merupakan peluang kita untuk meningkatkan peluang ekonomi di kawasan ini,” katanya dalam Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Pemimpin Masyarakat Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh di sini hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin memaklumkan kerajaan akan mewujudkan zon ekonomi Pagoh di atas tanah seluas 4,000 ekar dengan membawa masuk pelbagai syarikat gergasi antarabangsa.

Katanya, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Pembangunan Pagoh pada baru-baru ini dan ia bakal dibangunkan oleh Sime Darby Property.

“Usaha ini bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan sekali gus meningkatkan pendapatan ekonomi.

“Perancangan untuk Pagoh bukan setahun dua tahun tetapi berterusan, justeru itu saya berharap rakyat dapat mengambil peluang ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: