PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mempertahankan seruan supaya orang Islam memboikot produk Perancis sebagai respons terhadap kenyataan presiden negara itu Emmanuel Macron mengenai Islam.
Mahathir berkata, Macron “sangat primitif” kerana menyalahkan Islam dan orang Islam atas pembunuhan seorang guru baru-baru ini dengan berkata, pembunuhan tidak selari dengan ajaran Islam.
“Tak kira apa agama dianuti, orang yang marah akan membunuh. Orang Perancis dalam sejarahnya membunuh jutaan orang dan kebanyakannya orang Islam.
“Orang Islam berhak untuk marah dan membunuh berjuta-juta orang Perancis atas pembunuhan besar-besaran sebelum ini, tetapi umumnya orang Islam tidak mengamalkan undang-undang ‘mata untuk mata’. Orang Islam tidak berpegangan begitu.
“Oleh sebab anda menyalahkan semua orang Islam dan Islam atas perbuatan seorang individu yang marah, maka orang Islam berhak menghukum Perancis. Perbuatan boikot tidak dapat mengimbangi kesalahan yang dilakukan orang Perancis selama ini,” katanya dalam hantara di blognya hari ini.
Mahathir berkata, kebebasan bersuara tidak termasuk kebebasan untuk menghina orang lain atau mencemuh mereka, selain menambah konflik kaum yang serius dapat dielakkan di Malaysia kerana kesedaran tentang pentingnya sensitiviti orang lain.
“Kalau kita tidak berbuat begitu, maka negara ini tidak akan aman dan stabil.”
Kenyataan Macron minggu lalu dibuat sebagai respons kepada pembunuhan seorang guru, Samuel Paty, di luar sekolahnya yang terletak di pinggir bandar Paris awal bulan ini, selepas beliau menunjukkan kartun Nabi Muhammad dalam kelas semasa mengajar topik mengenai kebebasan bersuara.Guru itu menjadi sasaran kempen kebencian dalam talian berhubung pilihan bahan pengajaran, iaitu imej sama yang mencetuskan serangan berdarah oleh lelaki bersenjata di pejabat majalah satira Charlie Hebdo, yang merupakan penerbit asalnya pada Januari 2015.
Selain kecaman daripada beberapa pemimpin negara yang penduduk majoritinya orang Islam, kenyataan presiden Perancis itu juga mengundang kritikan dari Malaysia, termasuk daripada ketua pembangkang Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Hishammuddin Hussein.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan