Selasa, 27 Oktober 2020

Patuhi SOP, pakai pelitup muka atau sedia dikompaun

Kumara Sabapatty
MGF19032020_OPS-COVID19_11-681x454
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Rajab Ahad Ismail. foto FAREEZ FADZIL

KUALA LUMPUR – Polis Wangsa Maju akan mengambil tindakan tanpa prejudis ke atas individu yang didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membendung penularan Covid-19.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, pihaknya memandang serius ketidakpatuhan SOP dan akan terus komited dalam menjalankan pemantauan keselamatan dan pematuhan Perintah Kawalan Pegerakan Bersyarat (PKPB) di kawasan Wangsa Maju.

“Peraturan penggunaan pelitup muka di tempat sesak telah dikuatkuasakan sejak 1 Ogos yang lalu dan tempat-tempat sesak yang disenaraikan untuk mewajibkan penggunaan pelitup muka adalah di tempat awam dan sesak, kawasan-kawasan indoor di mana orang berkumpul, tempat beribadah, hospital, klinik dan kedai runcit.

“Merujuk kepada isu viral ketidakpuasan hati seorang lelaki yang telah dikompaun atas kesalahan tidak memakai pelitup muka dengan betul, pihak kami akan terus mengambil tindakan tegas kepada mana mana individu tanpa prejudis jika didapati gagal mematuhi SOP,” katanya hari ini.

Bagaimanapun, menurut Rajab Ahad, individu yang telah dikenakan kompaun mempunyai hak dan boleh membuat rayuan di mahkamah untuk proses semakan semula kompaun tersebut.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis berhampiran. -MalaysiaGazette

Tiada ulasan: