MALAYSIAKINI
Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa satu jawatankuasa khas bipartisan (dwiparti) yang bersifat konsensus seperti dibenarkan Peraturan Mesyuarat 81(1) Peraturan Dewan Rakyat diwujudkan dengan penglibatan wakil kerajaan dan pembangkang.
Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata ia perlu untuk merangka, memantau serta melaksanakan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 yang perlu ditubuhkan sebagai komitmen dan pelibatan secara berkesan serta inklusif.
"Memandangkan kerajaan sedia ada memerlukan dukungan pembangkang untuk mengukuhkan legitimasinya, Abim mencadangkan supaya pembentangan Belanjawan 2021 dibuat secara bersama antara pihak kerajaan diketuai perdana menteri dan pihak pembangkang diketuai ketua pembangkang, Anwar Ibrahim.
"Pembentangan Belanjawan Konsensus ini harus membabitkan kepentingan kedua-dua belah pihak dengan agenda rakyat mengharungi Covid-19 harus menjadi agenda bersama dalam menangani dampak penularan Covid-19.
"Seterusnya seluruh ahli parlimen termasuk daripada pembangkang harus diberikan akses setara dengan ahli parlimen kerajaan untuk diterima pandangan serta sumbang saran supaya belanjawan yang berorientasikan rakyat dapat diketengahkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhammad Faizal berkata demikian merujuk kepada pergolakan politik negara yang masih bergolak dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin minggu lalu mencadangkan darurat diisytiharkan.
Kedudukan Muhyiddin sebagai perdana menteri juga dipercayai tergugat apabila Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menolak saranan tersebut.
Menurut Muhammad Faisal saranan Abim itu juga selaras dengan semangat titah Agong yang mahukan seluruh ahli politik bersama-sama menumpukan perhatian menjaga kepentingan rakyat.
"Pendekatan Belanjawan Konsensus 2021 juga selari dengan intipati penyataan raja-raja Melayu pada 25 Okt yang menekankan peri pentingnya mekanisme semak dan imbang dihormati," katanya.
Tambah Muhammad Faisal, Abim berasa negara perlu bergerak ke hadapan atas prinsip inklusif sebagai asas utama memelihara kesejahteraan rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan