Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melihat cadangan untuk membenarkan pengeluaran wang akaun 1 bakal mengakibatkan masalah yang lebih besar di masa hadapan.
Ketua Pegawai KWSP, Alizakri Alias berkata, walaupun ramai rakyat Malaysia berdepan kesukaran namun peringatan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai masa hadapan rakyat perlu menjadi pertimbangan semua pihak.
"Mengeluarkan simpanan dalam akaun 1 tidak seharusnya menjadi satu-satunya untuk pencarum mendapatkan tunai dalam melalui kesukaran mereka.
"Kerajaan juga sudah menyediakan bantuan kewangan menerusi Bantuan Prihatin Nasional (BPN), BPN SME+,Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Kita Prihatin yang menelan belanja sehingga RM55 bilion untuk kumpulan B40 dan M40 serta kumpulan sasar lain.
"Malah pencarum turut dibenarkan untuk mengeluarkan wang akaun KWSP menerusi i-Lestari, dengan lebih RM11 bilion sudah dikeluarkan seramai 4.7 juta pencarum, sejak April tahun ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Alizakri berkata, simpanan persaraan itu adalah insurans masa hadapan pencarum dan keputusan mengeluarkan dari akaun itu bakal membahayakan perlindungan itu.
"Saya menyarankan agar pencarum membuat temu janji dengan pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) untuk mendapatkan pelan kewangan mereka ketika masa yang sukar ini," katanya.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata, sukar bagi kerajaan membenarkan pengeluaran wang akaun 1 caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi digunakan rakyat yang berdepan wabak Covid-19.
Katanya, beliau menyedari ada cadangan yang dibuat bagi pengeluaran wang akaun 1 KWSP dibuat berikutan rakyat terbeban dengan impak ekonomi akibat penularan berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan