PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan agar tiada pilihan raya diadakan dalam masa terdekat ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia adalah cadangan KKM selepas mengambil kira perkembangan terkini Covid-19 di negara ini.
Bagaimanapun jelas beliau, sekiranya pilihan raya tidak dapat dielak kerana perlu mengikut Perlembagaan, Prosedur Amalan Standard (SOP) yang ketat perlu dilaksanakan.
“Cadangan KKM tidak ada pilihan raya akan datang. Tetapi jika perlu diadakan juga, kita boleh ada pilihan raya yang berbeza maknanya.
“Yang pertama tiada rentas sempadan, rentas daerah dan balik kampung untuk mengundi.
“Tiada juga perhimpunan contohnya dan hanya lawatan rumah ke rumah. Ini adalah tiga isu yang kita akan bincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya sama ada boleh laksana atau sebaliknya,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini hari ini.
Dr. Noor Hisham menambah, sekiranya pilihan raya perlu diadakan juga, SOP perlu dipatuhi bagi meminimumkan risiko jangkitan Covid-19.
Jelas beliau, masyarakat perlu mengambil ikhtibar apa yang berlaku selepas Pilihan Raya Negeri Sabah yang menyebabkan berlakunya gelombang ketiga.
Sementara itu, Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi dijadualkan pada 5 Disember depan. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan