Jumaat, 30 Oktober 2020

PKPB: JAIS benar majlis akad nikah di pejabat agama bermula Isnin

Sebelum ini JAIS menangguhkan majlis akad nikah di seluruh Selangor berikutan 
pelaksanaan PKPB berikutan peningkatan kes Covid-19.

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memutuskan untuk memberi kelonggaran bagi pelaksanaan majlis akad nikah di seluruh negeri bermula Isnin ini walaupun perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) masih berkuat kuasa hingga 9 November.

Pengarah JAIS Mohd Shahzihan Ahmad berkata, majlis akad nikah boleh dilaksanakan di semua Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) di seluruh Selangor dengan kehadiran dan jumlah temu janji terhad.

Katanya, pelaksanaan majlis akad nikah itu tertakluk kepada beberapa syarat iaitu pemohon mendapat kebenaran berkahwin bawah Seksyen 17 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 daripada PAID, hanya pengantin lelaki, perempuan serta wali dibenarkan hadir untuk majlis itu dan 5 majlis akad nikah akan dilakukan dalam sehari bermula Isnin hingga Jumaat.

“Antara syarat lain adalah kebenaran turut diberi kepada pasangan di negeri ini dan pengantin lelaki atau perempuan dari luar Selangor namun mereka perlu mendapatkan kebenaran merentas daerah atau negeri jika diperlukan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hanya majlis akad nikah yang mendapat kebenaran Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Orang Islam Negeri Selangor sahaja akan dilaksanakan di PAID bermula pukul 9 pagi hingga 4 petang.

Justeru katanya, pihak terlibat boleh membuat temu janji majlis akad nikah dengan menghubungi PAID berkaitan.

Sebelum ini, JAIS menangguhkan majlis akad nikah di seluruh Selangor berikutan pelaksanaan PKPB berikutan peningkatan kes Covid-19.

Tiada ulasan: