Selasa, 27 Oktober 2020

Kes denggi menurun 4.4 peratus di Selangor

Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED

SHAH ALAM: Kes demam denggi di negeri ini mencatatkan penurunan sebanyak 4.4 peratus bagi tempoh 18 Oktober hingga kelmarin.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman berkata, berdasarkan statistik, sebanyak 460 kes direkodkan berbanding 481 bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Katanya, lima daerah utama yang mencatatkan kes denggi tertinggi adalah Petaling, Hulu Langat, Klang, Gombak dan Sepang.

“Jumlah lokaliti yang aktif adalah sebanyak 178 yang meliputi perincian lokaliti ‘panas’ iaitu 11, wabak tidak terkawal (15), wabak terkawal (143) dan wabak baru (9). 

“Sebanyak 36 kematian dilaporkan setakat ini iaitu penurunan 25 peratus berbanding 50 kes pada tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Jelas Sha’ari, biarpun menunjukkan penurunan, masyarakat tidak boleh leka dan perlu terus mengamalkan langkah pencegahan demam denggi.

“Kita digalakkan membersihkan persekitaran di sekitar kawasan premis dan rumah bagi menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes pada setiap minggu.

“Semua takungan air yang tidak digunakan perlu dimusnahkan manakala takungan kekal sentiasa ditutup atau diletakkan ubat pembunuh jentik-jentik,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: