Jumaat, 30 Oktober 2020

Kerajaan pertimbang ‘halalkan’ PATI tangani isu kekurangan pekerja

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyerahkan sumbangan kepada NGO di kawasan 
Pagoh dalam majlis sembang santai bersama masyarakat Cina dan NGO Parlimen 
Pagoh hari ini.

PAGOH: Kerajaan mempertimbangkan pengampunan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berada di negara ini dan memberikan mereka pas pekerja sementara bagi menangani isu kekurangan pekerja asing ketika Covid-19.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, beliau sedar isu pekerja asing terutama sektor perladangan ruminan seperti kelapa sawit dan getah mengalami masalah kekurangan pekerja yang ketara.

Beliau akan mengarahkan Menteri Dalam Negeri serta Menteri Tenaga dan Sumber Asli, memperjelaskan bagaimana kaedah pelaksanaan itu dapat dilakukan dan tidak menimbulkan isu lain pada masa depan.

“Rakyat tidak mahu kerja (dalam sektor perladangan), mereka mahu kerja di tempat penghawa dingin dan yang boleh kerja Bangladesh atau Indonesia, tetapi mereka tidak boleh masuk kerana lapangan terbang, sempadan ditutup, kenapa tutup sebab Covid-19.

“Saya tahu, jadi kita boleh pertimbang sikit untuk yang ‘illegal’ (pendatang asing tanpa izin) masuk Malaysia. Bukan kita suka, kita tidak suka.

“Boleh jadi kita timbang ini (pendatang) yang ‘illegal’ mungkin sekarang duduk di Cameron Highlands ada atau di pekan Pagoh belakang ini ada…kita sedang fikir, kalau tidak boleh masuk (Malaysia) boleh tak kita kasi lesen pas untuk sementara, sahkan mereka atau pengampunan atau istilahnya sebagai pemutihan,” katanya

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wakil badan bukan kerajaan (NGO) Cina dalam sesi sembang santai bersama masyarakat Cina dan NGO Parlimen Pagoh hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau juga tidak mahu pelaksanaan itu nanti disalah erti dan membuka ruang kepada sindiket haram mengambil kesempatan.

“Jangan saya takut kalau saya cakap boleh masuk lain kali nanti sindiket haram akan bawa ini orang (pendatang) masuk. Dia kata tidak mengapa Malaysia perdana menteri dia orang baik, duduk setahun nanti dapat pas boleh kerja. Itu salah.

“Tetapi kerana susah (kesan pandemik) kalau itu cara sementara (lakukan) benarkan mereka kerja untuk setahun atau 2 tahun. Lepas itu kalau sudah habis boleh balik (negara asal). Ini sahaja saya hendak jelaskan. Tengok keadaan bagaimana dan kita cuba laksanakan,” katanya.

Tiada ulasan: