Rabu, 28 Oktober 2020

Lemah penguatkuasaan punca institusi raja dihina – Papagomo

Wartawan MalaysiaGazette
MGF24012020_OWHMG-PAPAGOMO07-681x454
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo.

KUALA LUMPUR – Kepentingan Institusi Raja-Raja Melayu telah dipahat dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang digubal dalam tahun 1957 sejurus sebelum negara ini mencapai kemerdekaannya.

Perkara 181, 38(4), 44, 70 dan 159(5) dalam Perlembagaan Persekutuan secara jelas merujuk kepada kedudukan tinggi dan kedaulatan Yang Dipertuan Agong serta Raja-Raja Melayu berbanding kita sebagai warganegara dan rakyat.

Institusi Raja bukan sahaja sebagai tonggak kuasa kerajaan Malaysia, malahan juga sebagai penegak kedaulatan serta lambang bangsa Melayu secara tradisinya, kata Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Wan Muhammad Azri Wan Deris.

Perkara 32(1) Pelembagaan Persekutuan memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong ‘hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang di dalam Persekutuan’ manakala Perkara 70(1) Raja-raja Melayu yang lain adalah ‘tertakluk kepada keutamaan Yang di-Pertuan Agong dan Isterinya, Raja dan Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri-Negeri hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang lain’.

Perkara 8 meletakkan, semua orang lain adalah sama di sisi undang-undang.

Perkara 38 pula menyentuh tentang Majlis Raja-Raja; Perkara 181 menyentuh tentang Kedaulatan dan Keistimewaan Raja-raja Melayu; Perkara 70 yang menyentuh Keutamaan Yang Dipertua Negeri dan Raja Melayu, manakala Perkara 153 yang menyentuh tentang Hak dan Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera.

“Kita sudah sedia mempunyai undang-undang bagi menghalang perbuatan menghina Raja-Raja Melayu. Seksyen 3 Akta Hasutan jelas menyebut bahawa perbuatan ‘menghasut’ itu bermaksud mendatangkan kebencian, penghinaan dan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Beliau yang juga dikenali sebagai Papagomo berkata, jika disabit bersalah, bagi kesalahan kali pertama didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan yang berikutnya, boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun.
Manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia pula memperuntukkan kesalahan bagi apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain di ruang siber. Ini termasuklah perbuatan penghinaan ke atas Raja-raja.

Jika disabit bersalah, katanya, seseorang itu boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

“Semua di atas telah terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara. Adalah amat malang jika pihak berkuasa khususnya PDRM dan SKMM hanya pandang sebelah mata.

“Bahawasanya, apa sahaja bentuk kata-kata penghinaan kepada Raja Raja Melayu perlu diambil tindakan tegas dan memberikan hukuman yang setimpal kepada pelaku.

“Jika alasan bahawa undang-undang berhubung penghinaan terhadap institusi raja ini yang terlalu lemah, nampaknya ahli-ahli Parlimen perlu menggubal undang-undang khusus berupa ‘Lese Majeste’, iaitu untuk menghalang perbuatan ‘derhaka terhadap Raja’.

“Sebagai contoh, di Thailand, seseorang yang didapati bersalah menghina institusi Raja, boleh dipenjara sehingga 15 tahun. Pada Ogos 2017, seorang remaja Thai berusia 14 tahun juga tidak terkecuali daripada didakwa atas kesalahan menghina mendiang Raja Bhumibol Adulyadej.

“Maaf jika saya terkasar bahasa. Namun realitinya rakyat resah melihat penghinaan demi penghinaan dilakukan ke atas institusi Raja Raja Melayu tanpa sebarang tindakan tegas kepada si pelaku,” katanya.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: