Rabu, 28 Oktober 2020

KKM henti penggunaan 2 vaksin influenza dari Korea Selatan

Kementerian Kesihatan menghentikan sementara penggunaan vaksin SKYCellflu 
Quadrivalent dan VaxigripTetra.

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan pemberhentian sementara penggunaan 2 vaksin influenza dari Korea Selatan susulan laporan kes kematian di negara itu.

Dalam kenyataan hari ini Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Dr Faridah Aryani Md Yusof berkata, vaksin itu adalah SKYCellflu Quadrivalent dan VaxigripTetra.

“Terdapat 9 produk vaksin influenza yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Malaysia, termasuk 2 produk vaksin influenza yang dikaitkan dengan kes kematian di Korea Selatan.

“Untuk makluman, hanya Vaxigrip Tetra, Suspension for Injection in Prefilled Syringe sahaja yang dibekalkan di fasiliti kesihatan KKM,” katanya.

Bagaimanapun, syarikat pengeluar produk VaxigripTetra, Sanofi Pasteur memaklumkan nombor kelompok produk itu yang digunakan di Korea Selatan tidak terdapat di pasaran negara lain termasuk Malaysia.

“Setakat ini juga, tiada kes kematian dilaporkan susulan imunisasi vaksin influenza (quadrivalen) di negara ini.

“Namun, sebagai langkah berjaga-jaga, KKM menasihatkan pengamal perubatan menghentikan sementara penggunaan produk vaksin SKYCellflu Quadrivalent dan VaxigripTetra,” katanya.

Tiada ulasan: