Jumaat, 23 Oktober 2020

Mungkinkah kerajaan akan isytihar darurat kesihatan?

Agensi
Mungkinkah kerajaan akan isytihar darurat kesihatan?
Kenderaan membawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memasuki bangunan Perdana Putra hari ini untuk mempengerusikan Mesyuarat Khas Kabinet. - fotoBERNAMA
 
KUALA LUMPUR: Mungkinkah kerajaan akan mengisytiharkan darurat ekonomi? Itu spekulasi yang tersebar susulan Mesyuarat Khas Kabinet di Putrajaya, pagi tadi.
 
Akhbar Singapura, Straits Times memetik beberapa sumber yang tidak dinamakan memberitahu, mesyuarat hari ini adalah untuk membincangkan beberapa cadangan berkaitan pembentangan Belanjawan 2021 yang dijadualkan bulan depan, ketika negara sedang 'berperang' dengan gelombang ketiga COVID-19.
 
Salah satu pilihan ketika ini adalah darurat ekonomi, yang boleh menggagalkan kemungkinan pilihan raya, sekali gus memberikan lebih banyak masa kepada Perikatan Nasional (PN) untuk mengendalikan pandemik COVID-19 tanpa terganggu oleh krisis politik.
 
"Ia tidak sama dengan darurat pada 1969, di mana tentera mengambil alih.
 
"Sebaliknya, kehidupan seperti biasa diteruskan di bawah perintah kawalan gerakan tetapi tanpa campur tangan politik," kata sumber itu.
 
Pengisytiharan darurat akan mengakibatkan penggantungan Parlimen, cabang eksekutif kerajaan akan diberikan kuasa khusus yang dianggap perlu untuk keamanan masyarakat.
 
Akhbar tersebut juga mendakwa Raja-Raja Melayu telah dimaklumkan tentang kemungkinan kuasa khas diberikan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
 
Malaysia hanya pernah melalui keadaan darurat sekali, iaitu semasa rusuhan kaum pada tahun 1969.
 
Sebelum itu, darurat pernah diisytiharkan ketika pemerintahan British di Semenanjung Tanah Melayu pada tahun 1948, semasa pertempuran dengan Komunis.
 
Pilihan lain adalah mengemukakan 'bajet perpaduan' untuk sebagai langkah segera bagi mengatasi masalah ekonomi akibat pandemik COVID-19.
 
Akhbar The Star pula memetik sumber tanpa nama mendedahkan cadangan lain dalam mesyuarat Kabinet hari ini adalah berkaitan pengenalan undang-undang khusus untuk menghentikan lonjakan jangkitan COVID-19.
 
Pakar Perlembagaan, Profesor Dr Shamrahayu A Aziz hari ini telah menjelaskan definisi darurat dalam konteks Perlembagaan negara Malaysia.
 
Darurat membawa suatu keadaan berkaitan keselamatan, ekonomi dan ketenteraman awam yang tidak dapat dikawal melalui sistem pentadbiran biasa.
 
Pengisytiharan darurat adalah suatu pemasyhuran yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong melalui suatu pewartaan bahawa keadaan tersebut telah wujud atau hampir berlaku.

Tiada ulasan: