Sabtu, 24 Oktober 2020

98 penunggang sejam tolak motor ke balai

 Oleh ASLIZA MUSA

SEBAHAGIAN penunggang yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan 
menolak motosikal masing-masing ke Balai Polis Batu Kurau, Taiping, 
Perak, semalam.- IHSAN PDRM

TAIPING: Bukan setakat disaman malah 98 penunggang motosikal terpaksa menolak kenderaan mereka hampir sejam ke Balai Polis Batu Kurau, di sini selepas ditahan dalam Op Samseng Jalanan, di sini semalam.

Kesemua mereka yang berusia lingkungan 13 tahun hingga 20 tahun ditahan dalam operasi itu bermula pukul 5 petang di Jalan Besar Jelai, di sini.

Operasi berkenaan disertai 14 pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Taiping dan Balai Polis Batu Kurau.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, sebanyak 98 buah motosikal diperiksa dalam operasi selama lima jam itu yang mana 42 buah daripadanya disita.

Katanya, dalam operasi itu juga, 134 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tiada nombor pendaftaran kenderaan, tiada lesen memandu, tiada cermin sisi dan mengubah suai kenderaan serta ekzos.

“Kita turut memeriksa 120 individu dan tiada tangkapan melibatkan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 mahupun jenayah dan narkotik,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: