Sabtu, 24 Oktober 2020

Penjara untuk yang masih degil

 Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI

Prof. Madya Dr. Mohd. Hazmi Mohd. Rusli

KUALA LUMPUR: Hukuman penjara enam bulan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) perlu dikenakan kepada sesiapa yang tidak memakai pelitup muka di tempat awam tanpa mengira status individu.

Pensyarah Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Hazmi Mohd. Rusli berkata, langkah perlu dibuat selepas berlaku peningkatan Covid-19 dalam beberapa minggu ini.

Selain itu, katanya, pemantauan prosedur operasi standard (SOP) dan rekod kedatangan pelanggan di setiap premis perlu dilakukan secara kerap terutama membabitkan zon merah sebagai langkah mengekang penularan Covid-19.

“Arahan daripada pihak kerajaan juga perlu jelas dan konsisten bagi memastikan rakyat mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Dengan meningkatkan penguatkuasaan dan menyampaikan arahan yang jelas, usaha kerajaan menurunkan jumlah kes Covid-19 dapat dibuat dengan lebih cepat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini yang berkata masih ramai berdegil dan tidak mematuhi SOP walaupun berdepan tindakan tegas pihak berkuasa dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). -UTUSAN

Tiada ulasan: