KUALA LUMPUR – Langkah yang diambil oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk membincangkan dahulu dengan Majlis Raja-Raja mengenai cadangan pengisytiharan darurat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai tindakan bijak dan tertib.
Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil berkata, padanya terdapat beberapa sebab mengapa YDPA memilih untuk memperhalusi sedalamnya cadangan itu dan tidak sewenangnya memperkenannya.
Pertama, katanya, jika terdapat cara atau pilihan lain yang boleh dilakukan dahulu sebelum langkah pengisytiharan darurat dibuat, memandangkan ia sepatutnya menjadi pilihan terakhir.
“Contohnya, jika terdapat peruntukan undang-undang lain yang boleh digunapakai atau dikuatkuasa dengan lebih ketat untuk menangani dan mengekang ancaman wabak Covid-19 ini.
“Seperti Akta 342, Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang digunapakai kini membolehkan sesuatu kawasan jangkitan penyakit yang spesifik dikuarantin dan disita tanpa pengisytiharan darurat secara menyeluruh di seluruh negara.
“Mungkin tidak masuk akal jika kawasan yang bebas Covid-19 di negeri yang tidak kritikal pun terpaksa melalui perintah darurat kerana peningkatan kes itu di suatu daerah wabak di negeri lain yang kritikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Isham, jika negeri itu berjauhan dan perintah larangan merentas sempadan negeri boleh dikenakan semula tanpa darurat.
Oleh itu, katanya, pertimbangan perlu dibuat sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedia ada dan kuasa yang tertakluk dalam Akta 342 atau akta lain adalah memadai untuk dikuatkuasa dengan lebih bersasar dan berkesan untuk menangani kenaikan jangkitan wabak Covid-19 baru-baru ini, sebelum darurat secara pukul rata di seluruh negara diisytihar.
“Kedua, ialah untuk mengelakkan peruntukan darurat dalam Perlembagaan disalahguna untuk kepentingan politik dan dalam sejarah dunia darurat akibat politik ini pernah berlaku, namun tidak sepatutnya.
“Sekiranya YDPA tidak memperkenankan cadangan darurat Perdana Menteri, maka Perlembagaan dan Parlimen tidak akan digantung serta sidang Parlimen yang dijadualkan pada awal November ini akan diteruskan.
“Walaupun terdapat permohonan usul undi tidak percaya ke atas Perdana Menteri dalam sidang Parlimen ini, usul ini besar kemungkinan tidak akan dibentang atau diundi kerana prosedur Parlimen yang membolehkan usul-usul yang bukan melibatkan urusan kerajaan (seperti usul undi tidak percaya) diletak di keutamaan terkebelakang. Oleh itu, tidak akan sempat dibentang,” ujar beliau.
Namun, kata beliau, pada sidang Parlimen bulan itu akan ada pembentangan perbelanjaan kerajaan untuk Bajet 2021 yang memerlukan undian Ahli-ahli Parlimen untuk diluluskan.
“Sekiranya kerajaan tidak mendapat sokongan majoriti dalam dewan untuk usul Bajet ini, maka ia jelas menunjukkan kerajaan dan Perdana Menteri telah hilang sokongan majoriti.
“Apabila ini berlaku, Muhyiddin tidak ada pilihan lain, selain meletakkan jawatan atau menasihati YDPA untuk membubarkan Parlimen.
“Dengan pembubaran Parlimen, YDPA boleh melantik Perdana Menteri sementara yang lain, selain Muhyiddin,” kata Isham.
Baginda juga, katanya, boleh melantik kembali Muhyiddin jika diperkenankan.
Beliau turut menjelaskan, jika wabak Covid-19 belum reda, tempoh 60 hari untuk mengadakan pilihanraya selepas pembubaran Parlimen seperti termaktub dalam Perlembagaan boleh dilanjutkan dengan pengisytiharan darurat.
Dalam tempoh darurat ini kuasa adalah di tangan Perdana Menteri sementara yang baru itu, yang memegang kuasa diwakili secara statut atau prerogatif dari YDPA ketika tempoh darurat sehingga pilihanraya diadakan. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan