A
da anggota PDRM lindungi aktiviti judi di Bukit Bintang
BANGI – Siasatan terhadap beberapa anggota polis berhubung isu sindiket ‘cuci duit’, menjadi petanda jelas bahawa golongan taikun kini menguasai sektor ekonomi negara.
Malah, tidak keterlaluan juga jika dikatakan mereka turut menguasai arena politik.
Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin menyifatkan, perkara tersebut sebagai petanda tidak baik kepada keselamatan negara.
Kebimbangan itu, katanya, dikukuhkan lagi menerusi penglibatan anggotan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melindungi kegiatan haram taikun-taikun berkenaan.
“Semakin banyak bukti betapa taikun judi, dadah dan gengster mempengaruhi dan menguasai pelbagai sektor ekonomi dan politik sehingga menjejas keselamatan negara.
“Ada segelintir anggota PDRM yang diamanahkan telah ditahan SPRM kerana melindungi tauke dunia judi atas talian yang berpusat di segi tiga emas Bukit Bintang,” dakwanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, sebahagian pegawai dan anggota polis yang ditahan SPRM dipercayai melindungi kegiatan haram milik Kartel Low Yat.
Berita Harian memetik sumber sebagai berkata, rangkaian kartel ini sanggup membelanjakan jutaan ringgit sebagai habuan bulanan kepada pegawai dan anggota berkepentingan yang boleh memastikan aktiviti judi dalam talian terus beroperasi serta tidak digempur.
Katanya, sindiket itu sebelum ini dikatakan mempunyai beberapa premis judi di sekitar Lembah Klang, namun selepas operasi besar-besaran digerakkan pihak berkuasa memaksa Kartel Low Yat mengalihkan kegiatan mereka kepada telefon bimbit.
“Dengan telefon bimbit, kaki judi tidak perlu ke premis mesin judi sebaliknya boleh membuat taruhan secara dalam talian di rumah, di tempat kerja atau di mana-mana sahaja tanpa perlu bimbang ditahan pihak berkuasa.
“Bagaimanapun sistem alamat protokol internet (IP) aktiviti judi sindiket berkenaan sebenarnya boleh dikesan pihak berkuasa termasuk Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ),” katanya.
Sumber berkata, SPRM dilaporkan mempunyai nama pegawai dan anggota yang masih belum ditahan, dengan ada antaranya sudah dan akan dipanggil dalam masa terdekat.
Beliau juga memaklumkan, untuk ‘menghalalkan’ wang hasil aktiviti judi ini, orang kanan sindiket Kartel Low Yat akan melaburkan wang dalam perniagaan dikendalikan selebriti, artis dan beberapa usahawan melalui penubuhan syarikat serta anak syarikat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan