Sabtu, 14 Mac 2020

'Tiada menteri boleh tuntut kredit atas usaha pemulangan sisa plastik'

MALAYSIAKINI
 Malaysiakini

 
Tiada seorang menteri pun yang boleh menuntut kredit ke atas dirinya dalam usaha Malaysia mengembalikan semula sisa buangan plastik yang dibawa secara haram ke negara ini, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Alam Sekitar.

Kenyataan itu adalah sebagai respons kepada Adun Subang Jaya Michelle Ng yang menyebut nama bekas menteri Yeo Bee Yin atas usahanya memulangkan semula sisa buangan plastik, yang kebanyakannya berasal dari Eropah.

Yeo merupakan bekas menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).

"Tidak seorang menteri pun boleh menuntut kredit (ke atas diri mereka), kerana ia merupakan tindakan kolektif dari perkhidmatan awam di beberapa agensi yang diketuai oleh menteri yang berbeza, yang memudahkan pemulangan sisa plastik yang tidak sah ke negara asal.

"Kerjasama antara agensi ini perlu diteruskan tanpa menghiraukan siapa menteri itu. Menurut Konvensyen Basel dan undang-undang domestik, sudah terdapat mekanisme untuk menghantar semula sisa buangan plastik ke negara asal.

"Namun, Tuan Ibrahim menghargai usaha Yeo dalam menerajui inisiatif ini dengan kerjasama dari agensi lain ketika beliau berkhidmat," menurut kenyataan itu.

Pada Rabu, Menteri Alam Sekitar yang baru dilantik Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan bahawa 150 bekas sisa buangan plastik telah dikembalikan ke negara asal mereka dengan baki lagi 84 untuk dihantar pulang.

Kementerian itu berkata Tuan Ibrahim akan memastikan kesinambungan dasar yang dilaksanakan sebelum ini.

"Sebagai kenyataan balas kepada komen Ng dalam The Sun Daily, yang mengatakan Yeo memulakan sistem memulangkan sisa plastik ke negara asal, Tuan Ibrahim telah menjelaskan perkara itu sejak hari pertamanya memulakan tugas bahawa beliau akan meneruskan dan memperbaiki semua inisiatif yang baik dari kerajaan terdahulu.

"Ini termasuk menghantar sisa plastik haram ke negara asalnya.

"Tuan Ibrahim menekankan bahawa menteri datang dan pergi tetapi perkhidmatan awam mempunyai mekanisme untuk memastikan semua inisiatif yang dirancang akan dilaksanakan bagi memastikan tanggungjawab kepada rakyat tidak terjejas,” katanya.

Kabinet Perikatan Nasional mengangkat sumpah pada hari Selasa, selepas dua minggu kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.

Berikutan peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad pada 24 Februari, kem Muhyiddin Yassin dalam Bersatu bergabung dengan BN, PAS, GPS dan kem bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali untuk membentuk PN dan berjaya menggulingkan kerajaan PH.

Selepas lebih seminggu kemelut itu, Muhyiddin, diangkat sebagai perdana menteri kelapan pada 1 Mac.

Tiada ulasan: