Ahad, 29 Mac 2020

PRIHATIN: Dapat bantuan melebihi ‘Makcik Kiah’

Aqila

 

Manfaat PRIHATIN diyakini bawa senyuman dalam tempoh mencabar

KUALA TERENGGANU – Rosmunira Alokma, 47, bukanlah seorang penjual pisang goreng seperti ‘Makcik Kiah’, namun seluruh keluarganya akan menikmati pemberian tunai dan penjimatan berjumlah RM10,500 daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).

Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata suaminya, Wan Zulkifli Wan Harun, 53, adalah penjawat awam dan akan menerima bantuan sebanyak RM500 malah keluarganya juga layak menerima Bayaran Prihatin Nasional RM1,600 dan baki BSH (Bantuan Sara Hidup) sebanyak RM600.

“Dua anak kami yang masih bujang pula iaitu Wan Zuratikah, 28 dan Wan Zulfikri, 26, akan menerima Bayaran Prihatin Nasional RM800 seorang manakala seorang lagi, Wan Zurafifah, 22, yang kini menuntut di Universiti Malaysia Kelantan akan menerima RM200.

“Jumlah keseluruhan bantuan yang akan kami terima ialah RM4,500 manakala penjimatan selama enam bulan pula ialah RM6,000 iaitu bayaran RM1,000 bulanan untuk rumah sebanyak RM200, dua kereta (RM600) dan bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) anak sulung sebanyak RM200,” katanya kepada Bernama hari ini.

Rosmunira yang mencari rezeki dengan mengambil upah mengasuh bayi dan kanak-kanak di rumahnya itu berkata beliau sangat bersyukur dengan pengumuman PRIHATIN.

“Semuanya kerajaan dah bantu, sudah beri jalan untuk rakyat ‘bernafas lega’ tanpa bimbangkan wang belanja dapur dan dikejar bank untuk melunaskan bayaran…semoga semua rakyat Malaysia akan terus patuh arahan untuk duduk di rumah,” katanya.

Turut mendapat manfaat daripada pakej rangsangan PRIHATIN ialah warga emas Zuria Hamzah, 61, dan suaminya Nik Zakaria Mohd Noor, 63, yang merupakan pesara polis.

Zuria berkata, suaminya akan mendapat bantuan untuk pesara kerajaan sebanyak RM500, Bayaran Prihatin Nasional RM1,600, baki BSH (Bantuan Sara Hidup) sebanyak RM600 dan anak pula, Nik Nor Anis Ayuni, 23, dapat bantuan RM200 untuk pelajar universiti.

“Suami saya juga adalah Orang Kelainan Upaya (OKU) masalah penglihatan, jadi memang kami sekeluarga hanya bergantung pada bayaran pencen suami sebanyak RM1,000 untuk perbelanjaan bulanan.

“Syukur banyak-banyak dengan bantuan kerajaan sepanjang tempoh duduk di rumah ni, kami pun dapat jimat RM500 sebulan untuk bayaran sewa rumah dan motosikal yang jumlahnya RM3,000 untuk enam bulan,” katanya yang lega kerana tiga anaknya yang sudah berkeluarga juga layak untuk menerima bantuan Bayaran Prihatin Nasional RM1,600 dan baki BSH sebanyak RM600.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa membentangkan PRIHATIN pada Jumaat, menggunakan analogi penjual pisang goreng bernama Makcik Kiah bagi memperjelas contoh manfaat PRIHATIN yang diyakini mampu membawa senyuman kepada rakyat dalam tempoh mencabar akibat penularan COVID-19. – Bernama


Tiada ulasan: