Selasa, 31 Mac 2020

Lori bawa roti dicuri di KL, ditinggalkan di Kemaman

MALAYSIAKINI
 
Malaysiakini
 
 
Sebuah lori yang dilaporkan dicuri di Kuala Lumpur ditemukan di Kemaman, Terengganu malam tadi.

Ketika kecurian lori adalah perkara yang sudah berlaku berkali-kali, namun kejadian terbaru itu menarik perhatian kerana ia melibatkan kenderaan membawa bekalan roti.

Roti adalah satu daripada produk yang 'diburu' ramai ketika seluruh negara dikenakan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Difahamkan lori berkenaan - seberat 3 tan - ditemui di pekarangan Masjid Beris Meraga, Kijal, kira-kira jam 8 malam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Hanyan Ramlan, memberitahu Malaysiakini, ketika ditemui lori terbabit masih berisi dengan roti.

Beberapa gambar yang tular di media sosial juga menunjukkan roti masih ada dalam perut lori terbabit.

Sementara itu Astro Awani melaporkan lori terbabit asalnya digunakan untuk mengedar bekalan roti di sekitar Kuala Lumpur dan dilaporkan hilang di Jalan Petaling, Kuala Lumpur kira-kira jam 7 pagi semalam.

Kata Hanyan, kecurian itu disedari pemandunya ketika hendak memulakan tugas.
Pemandu terbabit kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Menurut Hanyan, kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 (a) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mencuri kenderaan. Lori tersebut, katanya, akan diserahkan kepada polis Dang Wangi untuk tindakan lanjut.

Tiada ulasan: