Khamis, 26 Mac 2020

Kumpulan AirAsia gantung hampir semua penerbangan

5 penerbangan jarak dekat ditangguhkan iaitu AirAsia Malaysia, 
AirAsia Filipina, AirAsia Thailand, AirAsia Indonesia dan Air
Asia India.
 
PETALING JAYA: Kumpulan AirAsia hari ini melaksanakan penggantungan sementara bagi hampir semua penerbangan dalam rangkaiannya, berikutan wabak Covid-19 yang mengakibatkan sekatan perjalanan ke beberapa negara.

Menurut kumpulan itu, pengumuman itu dibuat selepas dipersetujui syarikat penerbangan yang dikendalikan di bawah kumpulan AirAsia dan Kumpulan AirAsia X serta sebagai langkah mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan pelanggan dan kakitangan.

“Kami memainkan peranan dalam membantu usaha kerajaan yang mengenakan sekatan perjalanan dan perintah kawalan pergerakan termasuklah perintah kuarantin di rumah untuk mencegah penyebaran virus dan menjadikan penerbangan lebih selamat untuk semua.

“Kami akan terus memantau keadaan semasa dan bersedia memulakan penerbangan kami secepat mungkin apabila keadaan bertambah baik dan tertakluk kepada kelulusan daripada pihak kawal selia,” katanya dalam satu kenyataan.

Lima penerbangan bagi jarak dekat ditangguhkan iaitu AirAsia Malaysia, AirAsia Filipina, AirAsia Thailand, AirAsia Indonesia dan AirAsia India. Bagi AirAsia Malaysia, penggantungan dibuat sementara kepada semua penerbangan antarabangsa dan domestik dari 28 Mac hingga 21 April.

Bagi AirAsia Filipina, penggantungan sementara semua penerbangan dari 20 Mac hingga 14 April berikutan tempoh kuarantin komuniti Luzon dan kawasan lain di negara itu.

AirAsia Thailand pula, penggantungan semua penerbangan antarabangsa dari 22 Mac hingga 25 April, namun penerbangan domestik masih beroperasi dengan kekerapan lebih rendah.

Manakala, AirAsia Indonesia pula mengurangkan jumlah penerbangan antarabangsa, sementara penerbangan domestik masih beroperasi dengan kekerapan lebih rendah. AirAsia India pula bertindak menggantung semua penerbangan dari 25 Mac untuk tempoh 21 hari berikutan pengumuman kerajaan India menggantung semua penerbangan domestik di India.

Bagi AirAsia X, yang melakukan penerbangan jarak sederhana dan jauh, Air Asia X Malaysia bertindak menggantung sementara hampir semua penerbangan dari 28 Mac hingga 31 Mei depan.

Manakala, AirAsia X Thailand pula melakukan penggantungan sementara semua penerbangan dari 16 Mac untuk tempoh 3 bulan.

Tambahnya, semua pelanggan yang terjejas akan dimaklumkan melalui e-mel dan SMS. Mereka mempunyai pilihan untuk menukar tempahan penerbangan kepada akaun kredit yang boleh ditebus dalam masa 365 hari atau menukar kepada tarikh baru tanpa had dan bayaran sebelum 31 Oktober 2020.

Katanya lagi, dalam usaha menguruskan dan menampung kos perniagaan, ahli pengurusan kanan dan kakitangan kanan Kumpulan AirAsia bersetuju menerima potongan gaji antara 100% dan 15%.

Menurutnya, langkah ini dibuat bagi memastikan kelangsungan syarikat dan mengatasi masalah kekurangan permintaan perjalanan, di samping mengurangkan kesan ke atas kakitangan terutamanya yang berjawatan rendah.

“Bagaimanapun, Kumpulan AirAsia akan terus komited dalam membantu pihak berkuasa kerajaan yang berkaitan dalam memberi bantuan penghantaran balik penumpang serta barangan. Platform e-dagang AirAsia, OURSHOP serta platform logistik dan kargo Teleport akan terus beroperasi.

“Di mana Teleport akan menggunakan pesawat penumpang untuk menghantar bantuan perubatan dan peralatan perlindungan khas untuk hospital dan petugas barisan hadapan kecemasan di destinasi terpilih,” katanya.

Tiada ulasan: