Jumaat, 27 Mac 2020

Maszlee: Sama-sama berdoa lalui ujian besar ini

MALAYSIAKINI
 
Malaysiakini
 
 
Anggota Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik memohon supaya "penduduk di Kampung Dato' Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Ibrahim Majid untuk berada dalam keadaan tenang dan tidak panik."

"Kita patuhi arahan pihak berkuasa dan kekal berada dalam rumah.

"Makanan dan bantuan lain akan terus disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pejabat Parlimen Simpang Renggam sendiri.

"Sama-sama kita mengangkat doa agar kita terus kuat dan tabah melalui ujian besar ini," katanya pada suatu hantaran di media sosial hari ini.
Semalam, Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob mengisytiharkan dua kawasan petempatan di Johor itu dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) ekoran terdapat kes positif Covid-19 yang tinggi.

Katanya, kawasan itu ialah Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam.

Katanya terdapat 83 kes positif wabak itu di daerah Kluang dan daripada jumlah itu, 61 ada di dua petempatan terbabit.

Menurut Ismail Sabri, PKPD itu dilaksanakan untuk membendung jangkitan Covid-19 daripada menular keluar dari kawasan tersebut.

Dua kawasan itu menempatkan 3,570 orang penduduk daripada 650 keluarga. Perintah 'berkurung' ini berkuatkuasa mulai tengah malam tadi hingga 9 April

Dengan pelaksanaan PKPD beberapa peraturan ketat dikenakan, iaitu:
  1. Semua penduduk tempatan dan pelawat yang telah berada di kedua-dua kawasan tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan.
  2. Bukan penduduk tempatan dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kedua-dua kawasan sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan.
  3. Semua aktiviti perniagaan dihentikan.
  4. Makanan asas yang mencukupi untuk tempoh 14 hari akan dibekalkan kepada semua penduduk tempatan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.
  5. Pangkalan perubatan (medical base) akan dibuka di kawasan PKPD.
  6. Semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup.
  7. Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan mengawal seluruh kawasan.
LIHAT FB DI SINI


Tiada ulasan: