Rabu, 25 Mac 2020

Pasangan aktivitis positif COVID-19 dikecam sembunyi identiti

fazleen safina

 

Sukarkan pihak berkuasa kesan individu ada kontak rapat

BANGI– Pasangan aktivitis hak asasi yang didakwa merahsiakan identiti mereka selepas dijangkiti wabak COVID-19 telah mendapat kecaman dari seorang pemimpin badan bukan kerajaan (NGO).

Free Malaysia Today (FMT) melaporkan bahawa, pemimpin NGO yang enggan namanya dikenali mendedahkan, pasangan suami isteri itu disahkan positif Coronavirus selepas proses saringan.

Katanya, mereka kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak dua minggu lalu.

“Mereka ini pasangan suami isteri yang boleh dikatakan dikenali ramai tetapi mereka ingin merahsiakan apabila dijangkiti COVID-19.

“Ramai juga mereka jumpa di kalangan aktivis NGO terutamanya, kerana mereka terlibat dalam mengadakan mesyuarat-mesyuarat membantah pembentukan kerajaan Perikatan Nasional,” katanya.

Pada masa sama, pemimpin NGO itu turut menyifatkan tindakan pasangan yang merahsiakan penyakit dihidapi itu sebagai tidak bertanggungjawab kerana menyukarkan usaha pihak berkuasa mengesan individu yang pernah mempunyai kontak rapat dengan mereka.

“Persoalannya kenapa pasangan suami isteri akitivis ini merahsiakan nama mereka setelah didapati positif? Sangat tidak bertanggungjawab dan tidak telus.

“Mereka menunjukkan sikap buruk seolah-olah jika didapati penyakit ini adalah satu stigma, mohon sesiapa yang ada kontak terus ambil perhatian,” kata aktivis itu.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan I, Dr Noor Azmi Ghazali menyifatkan, mana-mana pihak termasuk tokoh masyarakat atau VIP yang bertindak menyembunyikan identiti selepas dijangkiti COVID-19, sebagai tidak bertanggungjawab kerana ia menyukarkan usaha membendung penularan wabak.

Beliau turut merayu dan menasihati mana-mana pihak disahkan positif COVID-19 supaya memaklumkan kepada pihak berkuasa, bagi memudahkan individu yang mempunyai kontak dengan mereka untuk melakukan pemeriksaan segera.

“Malah ramai yang akan terkena jangkitan kalau mereka tidak ‘isolate’,” katanya.

Difahamkan pasangan itu telah memaklumkan berhubung status kesihatan mereka dalam satu kumpulan WhatsApp.

“Mereka ada memaklumkan dalam kumpulan yang mempunyai lebih 120 ahli yang terdiri dari NGO-NGO hak asasi pada 17 Mac lagi,” katanya salah seorang ahli yang berada dalam kumpulan WhatsApp itu kepada pemberita, sambil menafikan pasangan itu cuba menyembunyikan status kesihatan mereka.

Setakat ini sebanyak 1,518 individu disahkan positif dan 15 kematian direkodkan di Malaysia.


Tiada ulasan: