Selasa, 24 Mac 2020

Polis dan tentera mungkin ditugaskan di bank, mesin ATM

MALAYSIAKINI
 
Malaysiakini
 
 
Menjelang hari gaji yang dijangka beberapa hari lagi, kerajaan mengingatkan agar orang ramai tidak bersesak-sesak di bank atau mesin pengeluaran automatik (ATM).

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob, berkata keadaan itu memang dijangkakan.

Justeru kata menteri kanan terbabit, kerajaan mungkin mendapatkan bantuan anggota polis atau tentera untuk bertugas mengawal keadaan di situ.

"Kerajaan menyeru agar orang ramai jangan berpusu-pusu di bank atau di mesin ATM.

"Kita juga akan minta pihak polis dan tentera - jika perlu - untuk mengawal kawasan bank dan atm untuk melaksanakan langkah seperti penjarakan sosial," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri yang juga ahli parlimen Bera menambah selain itu juga pengawal keselamatan juga akan diarah untuk mengawasi keadaan di situ.

Katanya pihak bank pula boleh mengenakan peraturan seperti mengehadkan jumlah orang dalam bank untuk sesuatu masa agar langkah penjarakan sosial tetap dilakukan.

"Kerajaan berharap, sesiapa saja yang mengeluarkan wang agar mengikut arahan dikeluarkan oleh petugas di bank, sama ada polis bantuan, polis atau anggota tentera yang ditugaskan membantu," katanya.

Malaysia terus mencatatkan kematian akibat Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan korban akibat wabak berkenaan setakat ini menjadi 15 orang.

Kes yang positif pula - sehingga petang semalam - menjadi 1,518.

Di peringkat global pula, sebanyak 16,563 kematian dicatatkan dengan Itali menjadi negara paling teruk terjejas iaitu 6,077 orang setakat ini.

Kes yang disahkan positif di negara itu pula ialah sebanyak 63,927 orang.

Ditanya mengenai keputusan kerajaan membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pengeluaran akaun dua dan tidak mengagihkan bantuan berdasarkan rizab kerajaan.

Ismail, berkata butiran lanjut bantuan yang akan disalurkan kerajaan akan dibincangkan oleh Kabinet esok.

Ia akan menjadi sebahagian daripada pelan rangsangan ekonomi yang diperluaskan dan dijangka akan diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 30 Mac.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan keputusan kerajaan membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan duit daripada akaun dua sebanyak RM500 sebulan selama 12 bulan,

Ia sebagai langkah bagi membantu rakyat yang terjejas ekoran penularan wabak Covid-19 di negara.

Tiada ulasan: