Selasa, 31 Mac 2020

Masjid jadi pusat komuniti agih bantuan asnaf: Dr Zulkifli

tyrazalhe

 

Tabung masjid mesti dimanfaat anak kariah terutama di kampung

BANGI – Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam seluruh Malaysia bersetuju menjadikan masjid sebagai pusat komuniti bagi pengagihan bantuan kepada asnaf dan mereka yang memerlukan.

Perkara itu antara beberapa perkara yang dipersetujui dalam Persidangan Khas Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Seluruh Malaysia Tahun 2020 yang diadakan pagi tadi.

Mesyuarat berkenaan antara lain bersetuju sebahagian daripada peruntukan tabung masjid perlu dimanfaatkan untuk anak-anak kariah terutamanya di kawasan kampung.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, jawatankuasa masjid dipertanggungjawabkan untuk mengenalpasti anak kariah yang tidak berstatus asnaf tetapi memerlukan bantuan bagi memudahkan penyaluran sumbangan.

“Semua pihak perlu prihatin berhubung penangguhan aktiviti di surau dan masjid termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah. Justeru, semua pihak perlu akur dengan ketetapan ini.

“Semua masjid dan surau perlu melaksanakan operasi pembersihan dan nyahkuman dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Zulkifli turut memaklumkan cadangan pemasangan bacaan al-Quran di masjid sebelum azan akan diperincikan lebih lanjut oleh pihak berkuasa agama negeri masing-masing.


Tiada ulasan: