Sabtu, 14 Mac 2020

Covid-19: Polis minta orang ramai salur maklumat peserta acara tabligh

 Malaysiakini
 
 
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung jemaah masjid yang menghadiri program tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling, di Kuala Lumpur, pada 28 Feb lepas, diminta tampil menyalurkan maklumat kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membendung penularan jangkitan Covid-19.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Acryl Sani Abdullah Sani berkata ketika ini hanya kira-kira 1,500 peserta yang berdaftar dengan Ahli Jawatankuasa masjid berkenaan.

“Orang ramai yang mengetahui ahli keluarga, jiran-jiran atau rakan-rakan yang menghadiri program tabligh itu diminta tampil memberikan maklumat.

“Sehingga kini KKM tidak ada menghubungi pihak polis untuk membantu mengesan peserta jemaah tabligh yang terlibat,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pihaknya hanya boleh menasihatkan jemaah yang hadir pada program tabligh itu untuk hadir secara sukarela bagi menjalani pemeriksaan Covid-19.

Acryl Sani berkata ketika perhimpunan jemaah tabligh itu berlangsung, pihaknya telah menugaskan 61 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dan IPD Cheras bertugas di sana.

“Ketua Polis Daerah Brickfields telah mengenal pasti kesemua 61 pegawai dan anggota yang terlibat dan akan menjalani saringan kesihatan dengan KKM,” katanya.

Beliau berkata ketika ini sebahagian peserta tabligh telah tampil untuk menjalani saringan kesihatan Covid-19.

Pada 12 Mac lepas Bernama melaporkan masjid berkenaan ditutup sementara bagi membolehkan proses disinfeksi dijalankan berikutan seorang peserta perhimpunan tabligh yang diadakan di masjid itu pada 28 Feb lepas, disahkan positif Covid-19.

Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik, bermaksud wabak penyakit yang tersebar dengan begitu meluas merentasi sempadan, malah hingga ke seluruh dunia.- Bernama

Tiada ulasan: