Khamis, 26 Mac 2020

Hospital Teluk Intan masih beroperasi, keadaan terkawal

 
Malaysiakini
 
 
Perkhidmatan Hospital Teluk Intan (HTI) masih beroperasi seperti biasa dan dalam keadaan terkawal walaupun ada petugas kesihatan di premis itu disahkan positif Covid-19, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming.

Beliau berkata semua pesakit dan orang awam tidak perlu bimbang terhadap keselamatan mereka kerana langkah-langkah pencegahan penyakit berjangkit serta kawalan jangkitan telah dilaksanakan di HTI selain penambahbaikan dilakukan secara berterusan dan menyeluruh sebaik kes pertama dikesan.

Menurut Dr Ding, dekontaminasi dua kali sehari dijalankan setiap hari di Jabatan Kecemasan HTI dan perkhidmatan kecemasan pula dijalankan sementara di ruang menunggu bersebelahan Unit Pesakit Luar.

Bagaimanapun, katanya untuk sementara waktu, Jabatan Kecemasan HTI hanya akan menumpukan kepada kes kecemasan kritikal untuk zon kuning dan zon merah sahaja, manakala semua kes tidak kritikal bagi zon hijau diarahkan ke Unit Pesakit Luar.

"Pihak Pejabat Kesihatan Daerah Hilir Perak telah dimaklumkan untuk membantu daripada segi rujukan terus pesakit ke wad dan kes-kes hijau untuk dilihat di Klinik Kesihatan berdekatan. Semua kemasukan kes-kes rujukan adalah melalui 'direct admission' ke wad," katanya dalam satu kenyataan di Ipoh, malam ini.

Tambah Dr Ding, HTI mendapatkan bantuan Pakar Perubatan Kecemasan dari Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, Hospital Taiping dan Hospital Seri Manjung serta staf-staf dari jabatan lain digerakkan ke Jabatan Kecemasan HTI secara berjadual dan berkala bagi membantu dalam melancarkan operasi harian.

"Bantuan staf daripada hospital-hospital berhampiran juga dimohon terutama Pegawai Perubatan dan Penolong Pegawai Perubatan bagi membantu di Jabatan Kecemasan," katanya.

Selain itu, semua janji temu klinik-klinik di HTI sama ada pesakit luar dan pakar ditangguhkan serta urusan janji temu dan ubat-ubatan dilakukan melalui panggilan, namun pihak klinik masih menerima kes atau pesakit-pesakit yang mempunyai masalah semasa saringan melalui panggilan telefon.

"Perkhidmatan pembekalan ubat di hadapan Unit Pesakit Luar melalui kaedah pandu lalu disediakan bagi kemudahan pelanggan dan mengurangkan risiko jangkitan.

"Operasi dewan bedah bagi kes-kes elektif ditangguhkan bagi menumpukan kepada kes-kes kecemasan dan semi-kecemasan sahaja dan khidmat Pegawai Perhubungan Awam digunakan untuk memberi maklumat sebenar kepada staf dan lain-lain yang terlibat," kata Dr Ding.

Selain itu, Dr Ding berkata pasukan 'Psychology First Aid (PFA) telah diaktifkan pada 21 Mac untuk membantu dalam pengurusan emosi dan mental staf-staf yang terlibat.- Bernama

Tiada ulasan: