
NAMA penuhnya Tan Sri Mahiaddin (Muhyiddin) Md Yassin. Kini telah pun berusia 72 tahun.
Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ini dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Perdana Menteri, selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Malah beliau juga menuduh Perdana Menteri kelapan itu bukanlah pilihan yang tepat kerana Muhyiddin tidak mempunyai sokongan majoriti di Parlimen.
Dr Mahathir turut mendakwa keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan sebagai sesuatu yang ‘aneh’ memandangkan bloknya mempunyai majoriti yang lebih besar dengan 114 sokongan.
Namun dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen, Muhyiddin menjelaskan bahawa keputusannya menerima pelantikan bagi jawatan berkenaan adalah demi menyelamatkan negara.
“Saya tahu ada yang marah kepada saya. Seperti yang dijangka, ada pihak yang menggelar saya pengkhianat. Dengarlah baik-baik, saya bukanlah pengkhianat. Naluri saya jelas bahawa keberadaan saya di sini adalah untuk menyelamatkan negara daripada berterusan dilanda kemelut,” ujarnya.
Malahan, beliau juga mendedahkan telah mengambil masa untuk berfikir sedalam-dalamnya sebelum membuat keputusan.
“Apa pilihan yang saya ada? Terus sokong Tun Dr Mahathir (Mohamad) yang tidak mempunyai sokongan majoriti atau menerima pencalonan sebagai perdana menteri? Jika saya terus menyokong Tun Dr Mahathir, kemelut politik akan berpanjangan. Berkemungkinan Parlimen terpaksa dibubarkan dan pilihan raya umum perlu diadakan,” katanya.
Muhyiddin berkata, beliau langsung tidak berniat untuk menimbulkan konfrontasi dengan mana-mana pihak. Ujarnya, jawatan Perdana Menteri bukanlah jawatan yang menjadi idamannya.
“Saya hanya tampil untuk menyelamatkan keadaan apabila kedua-dua calon perdana menteri tidak mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat,” katanya.
Di luar cerita politik, sebenarnya bukanlah rahsia lagi yang Muhyiddin telah disahkan doktor mengalami kanser pankreas dan telah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di pankreas serta beberapa sesi kemoterapi.

Kira-kira dua tahun lepas, beliau pernah secara terbuka mengakui pankreasnya itu telah dipotong sebanyak 40 peratus. Deodenum dan saluran hempedu (bile duct) turut dipotong.
Apabila kurang sihat, badannya akan lemah, mengalami pening kepala, muntah-muntah dan lebih banyak berehat di rumah serta menumpukan kepada amal ibadah.
Namun difahamkan, kanser yang menyerangnya masih ditahap awal dan beliau kini dikatakan bebas daripada penyakit berbahaya itu.
Di atas sebab itulah, baru-baru ini Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah bangun mempertahankan Muhyiddin selepas Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution mengkritik Perdana Menteri itu dalam pada satu ceramah politik.
Saifuddin menegaskan Muhyiddin seorang pesakit yang terselamat dari kanser dan menyertai mesyuarat Kabinet seperti orang lain apabila pulih. Kata Saifuddin, Muhyiddin pernah menderita kanser tetapi sudah pulih, dan bercuti sakit untuk beberapa waktu.

“Kita patut gembira dan beliau menunjukkan dia seorang pejuang, bukan menggunakan ia sebagai satu kelemahan,” kata Saifuddin mempertahankan bosnya itu.
Mungkin apa yang dikatakan Saifuddin itu ada benarnya. Sebaik sahaja dilantik menjadi Perdana Menteri, Muhyiddin nampaknya tidak menunggu lama untuk masuk ke pejabatnya dan seterusnya menakhodai kerajaan dengan begitu bertenaga.
Ketekunannya bekerja luar jangkaan dan beliau seolah-olah mendapat satu tenaga luar biasa bila duduk di kerusi nombor satu di Putrajaya itu. Ini boleh dilihat apabila beliau terpaksa berhadapan dengan cabaran yang sangat berat iaitu bila negara dihantui penyebaran virus Covid-19.
Kemuncaknya menyaksikan Muhyiddin membuat keputusan berat dengan mengishtiharkan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa mulai 18 Mac hingga 31 Mac di seluruh negara.
Ini adalah pertama kali dalam sejarah, Malaysia menguatkuasakan perintah seumpama itu!
Ia turut membabitkan sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara selain kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara.
Menyedari ia belum cukup berkesan, Muhyiddin melanjutkan lagi perintah tersebut hingga 14 April ini.
Menyedari beban yang terpaksa ditanggung rakyat, terkini Muhyiddin semalam mengumumkan pula suntikan sebanyak RM250 billion dengan matlamat melindungi warga kita, menyokong perniagaan dan memperkukuhkan ekonomi dalam menghadapi kesan pandemik Covid-19.

Daripada keseluruhan jumlah tersebut, yang turut merangkumi RM20 billion yang telah diumumkan sebelum ini, hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2.0 bilion untuk mengukuhkan ekonomi negara.
Keikhlasan dan raut wajah beliau setiap kali bila mengumumkan keputusan-keputusan besar kerajaan itu dapat dirasai oleh kita semua. Walaupun adakalanya keputusan yang diambil sangat tegas bunyinya, namun Muhyiddin menyatakannya dalam intonasi yang cukup tenang dan penuh pujuk rayu. Persis kata-kata seorang datuk kepada cucunya, seorang ayah kepada anaknya.
Muhyiddin juga sempat berdoa memohon perlindungan negara daripada wabak koronavirus itu ketika menyampaikan Perutusan Khas yang disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial hingga mengundang rasa sebak dalam kalangan rakyat Malaysia baru-baru ini.

Dan mungkin antara ucapan beliau pada pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi, Prihatin Rakyat semalam ‘merumuskan’ curahan isi hatinya selama ini.

“Jadi, abang-abang dan kakak-kakak yang saya kasihi serta anak-anak watan ini, sama ada anda Melayu, Cina, India, Sikh, Iban, Kadazan, Dusun, orang asal, tolonglah bersabar bersama-sama saya serta rakan-rakan dalam Kabinet dan kerajaan. Kami tidak sempurna tetapi kami cuba melakukan yang terbaik untuk keluar daripada krisis ini bersama.
“Walaupun kami bukan kerajaan yang anda undi tetapi saya mahu anda semua tahu bahawa kerajaan ini prihatin terhadap anda,” katanya penuh makna.
Ya, penuh makna! – Malaysia Gazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan